SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 16,800 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah akan menerima bantuan persekolahan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tahun ini.
Ketua yayasan MBI berkata peruntukan untuk 300 pelajar di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa bagi sesi persekolahan 2025.
“Perincian permohonan akan dimaklumkan kemudian apabila sudah diputuskan tarikhnya. Bentuk bantuan juga masih dalam perbincangan. Ada cadangan diberikan pakaian seragam sekolah.
"Yayasan MBI komited untuk membantu meringankan beban perbelanjaan untuk ibu bapa sekali gus memberi semangat kepada anak-anak untuk memasuki sesi persekolahan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Selangorkini.
Sebelum ini, Ahmad Azri memaklumkan Yayasan MBI memperuntuk kira-kira RM15 juta tahun ini bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan pendidikan di Selangor.
Katanya program terlibat termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), program bantuan kembali ke sekolah, membaik pulih prasarana sekolah dan membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Tahun lalu MBI memperuntuk RM1.7 juta kepada 16,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada setiap penerima.


