BERITA UTAMA

Sultan Selangor seru rakyat banteras rasuah, hormat-menghormati, bersatu padu

31 Dis 2024, 11:08 AM
Sultan Selangor seru rakyat banteras rasuah, hormat-menghormati, bersatu padu
Sultan Selangor seru rakyat banteras rasuah, hormat-menghormati, bersatu padu

SHAH ALAM, 31 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat untuk bersama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat sempena tahun baharu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penguatkuasaan perlu dipertingkat selain mengutamakan nilai integriti memandangkan kegiatan rasuah yang berleluasa mampu meruntuhkan tamadun.

“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara maju, rakyatnya haruslah saling hormat-menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu.

"Beta yakin sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti,” titah Baginda.

Menerusi perutusan Tahun Baharu 2025 bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Baginda juga tidak mahu rakyat bertelagah yang akhirnya membawa sengsara.

“Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala? Akibatnya rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titah Baginda.