SHAH ALAM, 31 DIS: Indonesia menimbang untuk melaksanakan tempoh perjalanan jemaah haji selama 31 hari berbanding 41 hari yang berkuat kuasa sekarang, lapor media di republik itu.
Cadangan itu dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Haji Dewan Perwakilan Rakyat atas arahan Menteri Agama Nasaruddin Umar, lapor Tempo.
Ketua jawatankuasa Abdul Wachid berkata cadangan berkenaan sedang diteliti untuk dilaksanakan menjelang tahun 2027.
“Paling tidak kita boleh siapkan mungkin dua hingga tiga tahun yang akan datang,” katanya kepada wartawan di Jakarta, semalam.
Mengikut jadual perjalanan yang dipendekkan itu, jemaah akan berada di Makkah selama 20 hari termasuk tempoh mengerjakan ibadah haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mereka juga dijadual berada di Madinah selama 9 hari sementara dua hari ditetapkan untuk perjalanan pergi dan balik.
Menurut Abdul Wachid, cadangan mengurangkan tempoh perjalanan jemaah haji bukan mudah untuk dilaksanakan.
Katanya, antara cabaran utama adalah untuk meningkatkan jumlah penerbangan selain menambah lokasi pengumpulan dan pemberangkatan jemaah haji dari berbagai wilayah di Indonesia.
Tempoh perjalanan yang lebih singkat juga akan memberi kesan kepada kos mengerjakan haji, tambahnya.
“Haji akan lebih cepat dan biaya akan lebih murah,” katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Agama Muhammad Syafi’i juga berkata cadangan memendekkan tempoh ibadah haji boleh jadi kenyataan sekiranya Indonesia mendapat hak mendarat dalam sehari yang lebih banyak di Arab Saudi, berbanding dua atau tiga kali sehari seperti sekarang.


