ad
AGENDA

Banjir diramal landa Kelantan, Pahang bermula hari ini - JPS

29 Dis 2024, 7:21 AM
Banjir diramal landa Kelantan, Pahang bermula hari ini - JPS

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di Kelantan dan Pahang selama dua hari bermula hari ini susulan amaran hujan berterusan.

Menerusi ramalan awal banjir yang dikeluarkan pada 2 petang ini, JPS memaklumkan 10 daripada 11 jajahan di Kelantan dijangka terlibat iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Sementara itu, banjir yang diramal melanda Pahang pula melibatkan lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut dan Maran.

“JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai itu.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta peka dengan arahan pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my dan laman Facebook PublicinfoBanjir.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.