ad
AGENSI

Hari kedua Festival Darul Ehsan Berselawat himpun puluhan ribu umat Islam

29 Dis 2024, 2:00 AM
Hari kedua Festival Darul Ehsan Berselawat himpun puluhan ribu umat Islam
Hari kedua Festival Darul Ehsan Berselawat himpun puluhan ribu umat Islam
Hari kedua Festival Darul Ehsan Berselawat himpun puluhan ribu umat Islam

SHAH ALAM, 29 DIS: Hari kedua penganjuran Majlis Darul Ehsan Berselawat berlangsung di Setia City Park Oval Lawn, Setia Alam di sini semalam berjaya menghimpunkan puluhan ribu umat Islam.

Disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, bergema alunan qasidah serta selawat oleh Kumpulan Syubbanul Muslimin.

Selain itu, antara tokoh Islam yang hadir ialah Habib Nael Ben Taher, Guz Hafiz dan Ustaz Azian Man pada program menjelang tahun baharu itu.

Bagi pelajar Madrasah Ribat Ahmadiah, Kota Bharu, Kelantan, Muhammad Zaim Hakim Mohd Zahili,16, beliau terpanggil ke program selawat itu setelah melihatnya di media sosial TikTok.

[caption id="attachment_679774" align="alignleft" width="413"] Muhammad Zaim Hakim Mohd Zahili,16 ketika hadir Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 28 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Setelah melihatnya, saya mengajak rakan Muhammad Syabil Che Amran untuk datang. Kami memutuskan untuk menaiki bas dan tinggal di rumah kakak rakan saya di Rawang.

“Pada awalnya, ibu tidak izinkan kerana tidak pernah pergi jauh tetapi alhamdulillah akhirnya dapat keizinan. Saya bersyukur kerana dapat pengalaman ke program selawat yang tidak diadakan di mana-mana negeri,” katanya.

Bagi guru sekolah agama Handzalah Pandi, beliau mengambil inisiatif sendiri membawa anak-anak muridnya untuk beri beri pendedahan awal kepada program keagamaan.

“Untuk tiga hari ini, saya membawa 16 anak murid berlainan supaya mereka dapat merasai dan melihat sendiri tokoh-tokoh Islam.

“Biarpun perlu berulang, saya tidak kisah kerana penting anak muda didedahkan dengan program seperti ini. Saya berharap program ini dapat diteruskan khususnya untuk disertai golongan muda,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, Kuala Selangor.

Sementara itu, juruteknik Nur Syafiqah Sahabudin,24, memaklumkan beliau sanggup menghabiskan cuti tahunnya semata-mata mahu ke program selawat tersebut.

[caption id="attachment_679772" align="alignright" width="438"] Nur Syafiqah Sahabudin,24 ketika hadir Festival Darul Ehsan Berselawat Rehlah Menuju Cahaya Shifa di Setia City Park, Setia Alam pada 28 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Saya tidak kisah habiskan cuti tahun kerana tiada negeri lain yang anjurkannya program selawat seperti ini, hanya di Selangor.

“Adik menemani saya ke program ini bersama dua rakannya. Saya teruja untuk ke program ini kerana banyak perkongsian dibawa terutama sirah nabi,” katanya dari Kuantan, Pahang.

Kerajaan Negeri kerap menganjurkan Majlis Darul Ehsan Berselawat termasuk ketika ambang tahun baharu dan sambutan Hari Kemerdekaan yang menghimpunkan ribuan umat Islam.

Pada tahun ini, program tersebut dianjurkan beberapa kali antaranya pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari.

Pada 2 Jun, Majlis Darul Ehsan Berselawat turut dianjurkan sempena majlis penutup Festival Turath Islami Selangor di Dataran Tapak Karnival Stadium Shah Alam, diikuti pada 31 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.