Oleh Lokman Hakim
Pelita minyak tanah itu begitu terang apinya. Dijinjing si ibu agar terang jalan. Sesekali dikalih ke sisi demi menebak laluan. Anak perempuannya, usia baru enam tahun tetap menggenggam erat tangan si ibu. Enggan dilepas walau sejenak, kerana kebahayaan yang menanti di luar ini amat dahsyat.
Tiada siapa yang mati setakat ini. Hanya kegelapan itu mengubah kelakuan orang sewenang-wenangnya. Tiada sesiapapun balik meredah kegelapan itu tanpa terhakis kemanusiaannya. Si ibu tahu apa yang mengubah mereka dan cara-cara menanganinya. Tapi untuk membiarkan si anak pergi ke dalam gelap itu, tidaklah dia berani melepaskan.
Beberapa hari lepas, anak-anak jirannya dibiarkan berkeliaran dalam gelap. Balik sahaja, mereka sudah ketagihan pada kegelapan dan sentiasa mencari peluang untuk duduk terperuk di salah satu sudut dikelubungi malam. Pertanyaan tidak dijawab sebaiknya. Semakin hari, semakin jauh dirasakan mereka itu hanyut dalam pemikiran yang bukan-bukan perihal menamatkan riwayat sendiri. Mereka masih muda. Kegelapan yang membaluti kampung itu seolah-olah hidup dan memberi imej bahawa dunia akan berakhir bila-bila masa untuk mereka yang belum mendewasa benar.
“Jangan merayau berseorangan dalam gelap ini, ya? Mama tahu kamu belum bersedia.”
“Tapi, ramai kawan-kawan Alice yang sudah meneroka malam sendiri-sendiri dan mereka okay sahaja.”
“Itu pada pandangan kamu. Di mata Mama mereka sudah hilang punca. Hilang arah!”
“Ah, karutlah Mama ni!”
Keras nada Alice bergema membelah gelap. Ibunya, Svetlana kian kejat menggenggam tapak tangan anaknya itu lalu mempercepatkan langkahnya. Khuatir jika anaknya itu berbuat hal-hal aneh seperti bergelut meleraikan genggamannya lalu lari ke dalam malam gelap pekat.
Hakikatnya, sukar untuk menyakinkan Alice. Saban malam, semakin ramai berpelesiran tika malam begitu pekat dan menikmatinya. Tiada batasan sama sekali. Yang tua mudah mempengaruhi yang muda. Yang muda mencipta cara mereka menghayati malam. Yang kurang matang akan menghirup malam hingga nyawa melayang. Kerencaman manusia mendepani kegelapan yang menyimpan pelbagai kemungkinan itu menyulitkan Svetlana untuk menyakinkan Alice bahawa gelap pekat itu elok sahaja.
“Kamu tahu bukan? Ada anak-anak seperti kamu yang tewas di pokok-pokok kering, menggantung diri. Ah, ibu bukanlah hendak menakut-nakutkan kamu. Tapi kamu begitu yakin bahawa kamu akan okay jika meredah malam tanpa mengetahui apa-apa mengenainya.”
“Jadi kenapa mereka mati? Itu semua perbuatan orang dewasa, Mama! Mereka kena bunuh!”
“Itulah yang Mama nak bagitahu kamu! Itu bukan kebenarannya! Mereka mati bukan kerana dibunuh dengan tangan kasar orang dewasa. Mereka tersilap melihat jejak gelap yang ditinggalkan orang dewasa yang tidak bertanggungjawab. Kamu tahukah bagaimana rupa jejak gelap itu?”
Alice terdiam. Jelas, dia tidak tahu apa-apa mengenai jejak gelap yang dimaksudkan ibunya itu. Kini mereka begitu hampir dengan rumah tetapi orang semakin ramai berpusu-pusu di jalanan dengan pelita masing-masing. Ada pesta, fikir Svetlana. Pesta meraikan kegelapan. Di suatu sudut, kelihatan beberapa orang lelaki dan wanita dewasa membentuk suatu lingkaran dengan unggun api menyala terang manakala anak-anak kecil bermain di dalam lingkaran.
Sekali imbas, ia kelihatan seperti suatu keadaan terkawal di mana orang dewasa memantau pergerakan anak-anak kecil bermain dalam lingkaran itu. Namun, Svetlana menyaksikan masalah di mana anak-anak kecil itu bermain dengan api dan membakar tubuh sesama sendiri perlahan-lahan. Lecur itu menyakitkan tetapi disambut gelak tawa. Sehinggalah seorang demi seorang anak-anak itu rentung lalu mati ditelan unggun api yang kian marak.
Ia imej yang begitu mengerikan di mata Svetlana. Di mata Alice pula, dia hanya menyaksikan keseronokan anak-anak seusianya bermain dengan gelak gembira sehingga api membakar mereka hingga mati. Kematian mereka itu tidak menakutkan di mata Alice dek kerana tawa mereka yang jelas sekali menyerlahkan keseronokan tidak terhingga.
“Mama, ayuhlah kita sertai mereka. Seronok!”
“Kamu gila! Anak-anak itu mati semuanya, tahu? Itu perangkap!”
“Tapi mereka nampak gembira, Mama!”
Seraya itulah genggaman pada tangan Alice terlucut. Alice, yang terpengaruh dengan sisi ceria permainan unggun api yang menggerunkan itu segera masuk ke dalam lingkaran yang dibina oleh sekumpulan orang dewasa itu. Svetlana panik. Naluri keibuannya memacu geraknya untuk memintas anaknya tetapi terhalang dek kekangan yang para orang dewasa ciptakan itu.
“Biarkan dia. Dia sudah cukup matang untuk membuat keputusan,” ujar salah seorang lelaki dewasa yang membentuk lingkaran itu.
Tanpa mempedulikan lelaki itu, Svetlana cuba menyelinap masuk juga. Digigitnya lengan salah seorang wanita yang membentuk lingkaran tersebut. Lingkaran yang terdiri daripada tangan-tangan manusia dewasa saling berpimpinan antara satu sama lain akhirnya terlerai juga. Pantas Svetlana meluru ke arah Alice lalu merangkul anak perempuannya itu.
“Jangan apa-apakan anak aku! Jika kalian mahu hidup lama, jauhi kami! Nyahlah kalian semua dari sini!”
Alice terkedu mendengar bentakan keras ibunya itu. Ditatapnya wajah ibu yang mendakapnya kemas. Dia masih tidak memahami apakah jejak gelap yang dimaksudkan ibunya. Dia juga masih tidak mengerti apakah kebinasaan ditelan unggun api itu begitu ngeri.
Svetlana kaget apabila mendapati kesemua lelaki dewasa dan wanita dewasa yang tadinya terkejut melihat pemberontakannya itu kembali membentuk lingkaran dengan tangan berpimpinan antara satu sama lain.
Perlahan-lahan Alice yang masih tidak mengetahui kenapa mereka harus takut dengan gelap mahupun memiliki kematangan mendepaninya, merebahkan tubuh ke arah unggun api yang marak menyala. Bersama-sama ibunya, mereka hangus ditelan api.