Beg tangan paku kian mendapat tempat dalam kalangan wanita untuk menyerlahkan lagi penampilan kerana memiliki keunikan tersendiri selain fesyen yang sederhana.
Tanpa melalui proses jahitan, pembuatannya hanya menggunakan butang ketap pada material seperti kulit, paip polyvinyl chloride (PVC) dan kulit sintetik untuk menghasilkan pelbagai rekaan beg tangan.
Cetusan idea Amira Fatiha Abdul Hamid iaitu pengasas Paku Store mampu membawa jenama beg tangan itu ke pasaran global seperti London, Vietnam dan China selain diiktiraf Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Beliau kini mengusahakan perniagaan berkenaan bersama rakan kongsinya, Zura Abdullah yang mendapat bimbingan daripada Pusat Wanita Berdaya (PWB) empat tahun lalu.
Jurufoto REMY ARIFIN merakam proses pembuatan beg tangan paku dihasilkan kedua-dua usahawan ini di Kota Damansara pada 9 Disember 2024.
Pembuatan beg tangan paku dimulakan dengan memotong lakaran yang telah dilakar di atas kulit
Tukul getah digunakan bagi mengetuk paku untuk membuat lubang pada bahagian sisi kulit
Kemudian butang ketap dipasang di setiap lubang kulit
Bahagian tengah kulit dilipat untuk dimasukkan butang ke dalam lubang, sebelum penutup lubang dicantum menggunakan alat pemasang butang ketap
Proses terakhir ialah mencetak nama pelanggan menggunakan mesin stim panas
Beg tangan multifungsi siap dihasilkan untuk diedar kepada penempah
Miya Hamid (kiri) dan Zura Abdullah (kanan) mempamerkan variasi beg tangan paku yang dihasilkan mereka








