SHAH ALAM, 27 DIS: Semua aspek terutama keselamatan diteliti sepenuhnya bagi menjaga kebajikan dan keselesaan pengunjung sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.
EXCO pelancongan berkata pemain industri terutama pengurusan hotel dan teman tema juga sudah bersedia untuk memastikan urusan pengunjung lancar sekali gus memberi pengalaman bermakna kepada mereka.
“Kita sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menanti kehadiran pengunjung. Pemain industri terutama hotel, taman tema dan restoran juga akan memastikan kelancaran urusan pelancong.
“Semua aspek diberi perhatian termasuk aspek infrastruktur, keselamatan. Kita mahu urusan pelancong mudah dan mereka seronok berkunjung ke Selangor,” kata Dato’ Ng Suee Lim kepada Selangorkini.
Dalam masa sama, Suee Lim berkata kerja mempromosi TMS2025 akan giat diteruskan dengan memperbanyakkan lagi pemasangan papan iklan di kawasan tumpuan.
“Kita juga akan meneruskan iklan menerusi media sosial dengan memaparkan tempat-tempat menarik,” katanya.
Sabtu lalu, Dato’ Menteri Besar melancarkan portal digital kempen visitselangor2025.my dan maskot rasmi SPARK the Fireflies sempena penganjuran Festival dan Konsert TMS2025 di Setia City Park, Setia Alam.
TMS2025 yang menawar lebih 60 program sepanjang tahun depan dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.