ad
BERITA UTAMA

Salur peruntukan naik taraf institusi Islam, dakwah makin subur

27 Dis 2024, 6:00 AM
Salur peruntukan naik taraf institusi Islam, dakwah makin subur

Seringkali slogan “dasar Islam” atau “pelaksanaan Islam” dalam pemerintahan disempitkan kepada aspek-aspek tertentu sahaja. Contohnya tentang pembangunan syiar Islam atau pemerkasaan institusi-institusi berkait hal ehwal umat Islam.

Hakikatnya sekiranya kita mengakui bahawa Islam itu syumul merangkumi pelbagai bidang termasuk akidah, ibadat, pendidikan, pemeliharaan lima perkara asasi (agama, nyawa, keturunan, akal dan harta), dakwah, kekeluargaan, alam sekitar, pembangunan kanak-kanak, hubungan antarabangsa dan sebagainya, maka pelaksanaan Islam itu tentulah luas seluas kesyumulan Islam.

Kenyataan ini turut terpakai apabila kita mahu menilai sejauh mana Islamnya sesebuah belanjawan yang dibentangkan di peringkat persekutuan mahupun negeri. Berdasarkannya, kita boleh membahagi tahap keislaman itu dalam erti kata umum dan khusus.

Penilaian keislaman Belanjawan Negeri Selangor 2025 yang dibentangkan pada 15 November 2024 juga perlu berpandukan kepada makna luas “dasar Islam” dan “pelaksanaan Islam” yang dijelaskan sebentar tadi.

Menurut maksudnya yang umum, kita mendapati belanjawan tersebut secara asasnya bertepatan dengan misi kemaslahatan rakyat yang ingin dicapai oleh Islam menerusi mekanisme pemerintahan yang berwawasan dan cekap.

Belanjawan bertema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani berciri keterbukaan yang memberi kesejahteraan kepada pelbagai kaum dan agama. Bukan sekadar dari segi kaum dan agama, malah juga peringkat usia dan latar sosial yang beraneka.

Kemaslahatan pendidikan rakyat jelas dipelihara menerusi peruntukan keseluruhan sebanyak RM79.95 juta. Antaranya menerusi program tuisyen percuma kepada 130,000 pelajar melalui dana RM10 juta, menampung yuran kepada 500-600 mahasiswa Universiti Selangor dan Universiti Islam Selangor dan baucar buku kepada 2,000 mahasiswa.

Kegiatan intelektual para mahasiswa juga diperkasa menerusi sokongan kepada konvensyen mahasiswa yang telah diadakan sejak beberapa tahun termasuk dalam belanjawan kali ini. Saat sesetengah orang merungut anak muda ketagih gajet atau hanya minat kandungan video pendek, namun sokongan sebegini amat membantu untuk menggalakkan daya intelektual dan kepimpinan sekaligus.

Apatah lagi, negeri Selangor sejak beberapa tahun terkenal dengan sokongan berterusan kepada kegiatan terjemahan menerusi dana terjemahan yang berterusan diberi termasuk untuk tahun 2025. Antara hasilnya ialah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) bersama Media Selangor yang menjadi antara penerbit terkemuka dan bermutu pada hari ini.

Selangor adalah sebuah negeri yang maju termasuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan nilai ekonomi mencecah RM400 billion pada 2023. Kedudukan itu tidak sekadar dibangga-banggakan, namun keuntungannya dikongsikan kepada pelbagai segmen masyarakat yang memerlukan.

Oleh itu, antara inisiatif berkebajikan kepada golongan berpendapatan rendah dan OKU yang dilaksanakan ialah pembukaan 10 Pasar Raya Ehsan Mart yang membolehkan mereka menikmati harga barangan yang murah. Antara lain ialah pemberian air percuma hasil peruntukan RM40 juta dan baucar Jom Shopping Perayaan dari dana RM12 juta.

Ciri keislaman

Turut mendapat perhatian ialah golongan pesakit menerusi bantuan RM5 juta untuk pelbagai penyakit seperti barah, dialisis buah pinggang dan tibi, skim rawatan jantung RM5 juta dan peruntukan RM500,000 untuk menangani isu kesihatan mental.

Semua itu merealisasikan salah satu tugas pemerintah ialah menjaga kebajikan golongan yang memerlukan termasuklah para pesakit.

Meskipun masih terlalu banyak yang belum disebut, namun sebagaimana saya nyatakan di awal tulisan, semua ini adalah sudut “Islam” yang tidak dianggap islamik oleh sebahagian pihak yang menyempitkan makna Islam.

Selain sudut umum keislaman belanjawan itu, saya catat serba sedikit tentang sudut yang khusus berkaitan hal ehwal Islam pula. Antaranya ialah penaiktarafan 20 masjid kariah menjadi masjid pengurusan melibatkan implikasi kewangan tahunan RM3 juta, pengiktirafan ahli Quran dan pemerkasaan pendidikan turath dengan masing-masing diperuntukan RM303,000 dan RM1 juta.

Kembali kepada catatan di awal tulisan, salah satu kemelut pemikiran sebahagian kelompok Muslim adalah menyempitkan misi politik Islam menerusi slogan “pelaksanaan Islam” yang difahami secara sempit.

Apabila kita mempraktikkan makna yang luas pada “dasar Islam” dan “pelaksanaan Islam”, kita mendapati bahawa secara asasnya belanjawan Negeri Selangor 2025, malah juga saya percaya Belanjawan Malaysia 2025 tidak kurang ciri keislamannya.

Kekurangan boleh dilihat di sana sini, namun ruang perselisihan ialah betul dan salah, atau baik dan terbaik, bukannya Islam atau tidak Islam. Misi pentadbiran Islam boleh terlaksana tanpa perlu parti Islam atau monopoli mana-mana pihak, syaratnya kita luaskan maksud ‘pelaksanaan Islam’ sebagaimana dijelaskan sebentar tadi.

Akhirnya kita mendoakan agar segala perancangan dalam belanjawan ini boleh dilaksana dengan penuh jaya. Kita juga berharap rakyat, masyarakat madani dan ahli-ahli politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang boleh melakukan semak imbang selain menjadi warga aktif yang memantau pihak kerajaan agar mengota segala kata demi kemaslahatan semua.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.