Oleh Noor Bakhtiar Ahmad & Linda Khoo Hui Li
KUALA LUMPUR, 27 DIS: Tahun 2024 muncul sebagai tahun penuh konflik dan penderitaan manusia yang tidak henti-henti, mengingatkan betapa rapuhnya keamanan global.
Dari jalan-jalan yang berlumuran darah dan kemusnahan berterusan di Gaza hingga ke wilayah konflik di Ukraine, dunia menyaksikan krisis yang tidak berkesudahan, mencetuskan ketidakstabilan geopolitik dan memaksa berjuta-juta orang meninggalkan kediaman mereka.
Timur Tengah, khususnya, melalui babak paling gelap dalam beberapa dekad, dengan Gaza menjadi simbol penderitaan manusia yang sangat memilukan.
[caption id="attachment_641473" align="aligncenter" width="809"]
Penduduk Palestin termasuk orang tua dan kanak-kanak meninggalkan Semenanjung Gaza dengan berjalan kaki untuk mencari perlindungan susulan konflik berterusan antara Israel dan Hamas pada 10 November 2023. Foto REUTERS[/caption]
Sejak serangan Israel bermula pada 7 Okt 2023, lebih 45,000 rakyat Palestin terbunuh, lebih 107,000 cedera dan kira-kira 1.9 juta orang - 90 peratus daripada populasi - kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED) menyenaraikan Palestin sebagai wilayah paling berbahaya dan ganas di dunia pada 2024, dengan purata 52 insiden konflik setiap hari.
“Keganasan konflik di Palestin - khususnya di Gaza - dan ketiadaan gencatan senjata menunjukkan bahawa kekerasan ini mungkin akan berlanjutan hingga 2025,” menurut ACLED, penyedia data masa nyata terkemuka mengenai keganasan politik dan protes di seluruh dunia.
Pembunuhan berprofil tinggi pemimpin Hamas dan Hizbullah yang berpengaruh termasuk Yahya Sinwar, Ismail Haniyeh, Mohammed Deif, Hassan Nasrallah dan Ali Karaki, meningkatkan ketegangan dengan ketara di rantau itu dan menggagalkan rundingan gencatan senjata penting.
Situasi kemanusiaan di Gaza terus merosot dengan mendadak. Sekatan yang berterusan telah memburukkan lagi kekurangan barangan keperluan asas dan bekalan perubatan kritikal, menjadikan penduduk semakin terdesak.
[caption id="attachment_671851" align="aligncenter" width="816"]
Seorang lelaki duduk di tengah-tengah runtuhan di tapak yang rosak selepas serangan Israel ke atas bandar Al-Ain di wilayah Baalbek di tengah-tengah permusuhan berterusan antara Hizbullah dan tentera Israel, di Lubnan pada 6 November 2024. Foto REUTERS/Mohammed Yassin[/caption]
Di Lubnan, pertempuran sengit antara tentera Israel dan Hizbullah telah menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal dan meragut lebih 4,000 nyawa. Walaupun gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat dan Perancis pada November memberikan kelegaan sementara, ketegangan asas masih berlarutan.
Di Syria, dominasi Parti Baath selama 61 tahun berakhir secara dramatik apabila pasukan anti-rejim mengambil alih Damsyik, memaksa Presiden Bashar al-Assad melarikan diri bersama keluarganya.
Di Ukraine, lebih 1,000 hari pertempuran berterusan telah menyebabkan puluhan ribu kematian dan berjuta-juta pelarian, mencetuskan krisis kemanusiaan yang mendalam.
Di tengah-tengah konflik ini, terdapat langkah kecil namun signifikan ke arah akauntabiliti. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakannya di Gaza.
Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menekankan peranan penting masyarakat antarabangsa dalam memutuskan kitaran keganasan.
“Penguatkuasaan tegas oleh pengantara adalah penting untuk mengelakkan perjanjian menjadi sekadar simbolik. Langkah-langkah membina kepercayaan juga perlu diberi keutamaan,” katanya.
Mohd Mizan berkata skala kemusnahan di Gaza menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata yang berkesan dan boleh dikuatkuasakan.
“Tanpa pengawasan antarabangsa, sebarang gencatan senjata tetap terdedah kepada keruntuhan, memburukkan lagi krisis kemanusiaan,” katanya.
Ketika dunia merenung kehancuran pada 2024, prospek untuk 2025 kekal suram.
[caption id="attachment_187396" align="aligncenter" width="747"]
Pelarian Rohingya turun dari bot selepas menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar melalui Teluk Benggala, di Shah Porir Dwip, Bangladesh 11 September 2017. Foto REUTERS[/caption]
Di Myanmar sahaja, konflik dalaman yang berterusan telah menyebabkan kira-kira 3.4 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut UNHCR, sekali gus memperburuk ketegangan etnik dan mencetuskan cabaran kemanusiaan yang lebih besar.
Sementara itu, Alat Analisis dan Simulasi Konflik ACLED (CAST) meramalkan peningkatan 20 peratus dalam keganasan global pada tahun mendatang.
- BERNAMA


