Oleh Nazli Ibrahim
Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Peristiwa pada 1999 masih segar dalam ingatan YM Ong. Kejadian itu menjadi titik tolak yang mencetus ilham kepada beliau dan suaminya mendiang Albert Ong untuk menubuhkan rumah kebajikan Good Samaritan Home.
Masih terbayang di mata wanita itu, wajah kanak-kanak lelaki lingkungan usia tujuh hingga 12 tahun itu datang ke muka pintu rumahnya penuh cemas. Badannya kuat berbau minyak tanah. Sambil menangis, dia memberitahu bapanya mabuk dan menyiram ahli keluarga dengan minyak tanah serta mengancam membakar mereka.
Tanpa berlengah, suaminya ke rumah keluarga tersebut di sebuah estet di Klang. Albert berjaya memujuk si bapa untuk bertenang. Sejak itu, beliau dan suami memelihara anak lelaki berkenaan.
Peristiwa ini memberi ilham kepada mereka untuk membantu kanak-kanak yang diabai atau dibuang ibu bapa dengan menubuhkan Good Samaritan Home. Meski suaminya meninggal dunia pada 2020, YM Ong meneruskan usaha tersebut.
[caption id="attachment_679330" align="alignleft" width="408"]
YM Ong[/caption]
Dibuka pada 1999, The Good Samaritan Home diasaskannya bersama mendiang suami. Mereka mengambil anak-anak terbuang sejak bayi hingga berusia 10 tahun.
"Kanak-kanak ini ada isu keluarga. Ada yang ditinggalkan di hospital selepas lahir dan juga masalah lain. Bagi kanak-kanak berumur 10 tahun, kami selidik latar belakang mereka dulu," kata YM Ong kepada Media Selangor dalam program Hotel Concorde Shah Alam merai penghuni rumah kebajikan itu sempena hari Natal pada 19 Disember.
Sehingga kini, rumah kebajikan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu memelihara lebih 100 kanak-kanak.
Keluarga sendiri
Selain ditinggalkan di hospital ketika masih bayi, kanak-kanak ini juga mempunyai latar belakang keluarga bermasalah antaranya ibu bapa di penjara, penagih dadah dan alkohol tegar.
Bagai anak sendiri, kanak-kanak itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan diberi pendidikan hingga ke peringkat tinggi. Mereka juga memanggil YM Ong dan suami sebagai mami dan papa.
Mendiang dan isterinya juga berusaha memohon biasiswa atau penaja untuk anak-anak tersebut melanjutkan pelajaran.
"Saya sudah besarkan lebih 100 anak-anak ini. Mereka melanjutkan pelajaran sampai ke universiti. Ada jadi akauntan, fisioterapi, chef di Singapura, jururawat, pendidikan awal kanak-kanak dan lain-lain. Pada masa ini, saya ada tujuh orang di kolej dalam pelbagai bidang.
"Hubungan kami rapat seperti sebuah keluarga besar. Mereka memanggil saya mami dan mendiang suami papa," katanya.
Setiap kali tiba musim perayaan, 'anak-anak' yang bekerja di luar Selangor termasuk di Singapura balik ke rumah untuk meraikan hari Krismas bersama-sama.
"Bila tiba hari Natal, anak-anak teruja sebab mereka ke hotel nyanyi lagu Karol Krismas, dapat makan sedap, hias pokok Krismas dan lain-lain," katanya.
[caption id="attachment_679332" align="aligncenter" width="697"]
Program Hotel Concorde Shah Alam merai rumah kebajikan Good Samaritan Home sempena Hari Krismas pada 19 Disember 2024.[/caption]
Penghuni Good Samaritan Home juga dirai Hotel Concorde Shah Alam sempena hari Natal 2024.
Menurut Penolong Pengurusnya, Haliza Mansor, sudah menjadi tradisi Hotel Concorde meraikan golongan kurang bernasib baik setiap kali menjelang musim perayaan termasuk hari Natal dan hari raya Aidilfitri.
Selain dihiburkan Kugiran Batak 'Los Ganesha', antara atur program disediakan Hotel Concorde seperti pertandingan menghias kek mini, persembahan silap mata dan jamuan makan tengah hari istimewa.
Namun menguruskan rumah kebajikan seperti Good Samaritan Home bukanlah mudah. Dibantu 10 pekerja, antara cabaran terbesar dihadapi Ong adalah dana untuk menampung operasi.
"Cabaran adalah bagaimana mahu dapatkan sumbangan awam. Nasib baik penduduk Klang ramai yang baik hati dan pemurah untuk beri sumbangan. Mereka tanya apa yang kami perlukan dan mereka beli. Ada belikan ikan, ayam, sayur, makanan dalam tin dan lain-lain. Ada juga memberi sumbangan wang tunai.
"Membesarkan anak-anak ini juga bukan mudah. Mereka ada perangai masing-masing. Inilah sebabnya saya perlu habiskan masa dengan mereka setiap hari," katanya.


