Oleh Abdul Rahim Sabri
Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Saban minggu Gereja Our Lady of Lourdes (OLL) mengedar makanan percuma buat kumpulan gelandangan sekitar Klang. Hampir 2,000 bungkus nasi diberi setiap bulan termasuk golongan transgender dan kurang mampu sekitar bandar itu.
“Janganlah bagi mereka kebuluran. Kami lihat mereka duduk merata kerana tiada penginapan di sini, mereka akhirnya jadi gelandangan,” kata paderinya, Gregory Chan.
Sumbangan dari individu dan syarikat buat rumah ibadat itu sekali gus memudahkan beliau dan petugas gereja mengedar makanan percuma tanpa masalah.
“Saban minggu kami tengok keadaan itu, memang kesian. Ada yang tidur di bawah jambatanlah, di lorong gelap, merata-rata, memang sedih,” ceritanya lagi ketika ditemui Media Selangor pada 18 Disember.
Prihatin atas dasar kemanusiaan menjadi tonggak utama pengurusan Gereja OLL di Jalan Tengku Kelana itu menghulurkan pelbagai bantuan merentasi agama, bangsa dan latar belakang.
[caption id="attachment_679322" align="alignleft" width="416"]
Paderi Gregory Chan.[/caption]
Dibina pada 1928, gereja itu turut pernah menerima lebih 100 mangsa bah ketika kejadian banjir besar melanda Selangor pada 2021. Tanpa mengira agama dan bangsa, paderi dan sukarelawan gereja memberi makan secara percuma dari pagi hingga ke malam.
Terletak bersebelahan Taman Bandar Diraja Klang, kedudukan gereja itu agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.
Gregory berkata beliau tidak mahu rumah ibadat berkenaan ‘ditakuti’ dan menolak anggapan buruk segelintir individu mengenai kegiatan gereja itu.
“Sebelum ini memang ada beberapa kontroversi babitkan gereja. Jadi, ramai yang bimbang untuk datang ke rumah ibadat ini. Tetapi kami tidak mahu anda berperasaan sebegitu.
“Disebabkan itu ketika berlaku banjir, kita buka pintu seluas-luasnya. Mereka duduk di sini, tidak ada makna bila datang ke gereja, agama akan ditukar. Konsep rumah ibadat kita sama, melindungi mereka yang lemah.”
Namun bantuan yang dihulur bukan tiket untuk orang ramai sewenang-wenangnya mengambil kesempatan. Ada kisah pahit pernah dialami, sikap pemurah gereja dibalas dengan cacian hanya kerana tidak dapat membayar bil elektrik kediaman dan kos penginapan hotel individu tidak bertanggungjawab.
“Dia tak bayar bil elektrik (rumah), jadi elektrik dipotong. Apabila dipotong dia tak ada tempat nak tinggal lagi. Jadi dia tinggal di hotel. Kemudian dia minta kita pula yang selesaikan bayar bil hotelnya.
“Disebabkan perkara itu tidak munasabah, kita tidak boleh bayar. Hanya kerana itu dia pergi beritahu semua orang bahawa gereja kita tak bayar bil hotel dia. Memang mengejutkan sebab dia cuba burukkan gereja,” katanya yang berkhidmat sebagai paderi di gereja itu sejak 2021.
Tanggung kos pulang
Dalam pahit pasti ada manisnya. Pada 2023, mereka membantu warga Indonesia yang menghidap barah tahap empat pulang ke kampung halaman. Gereja memutuskan untuk menanggung semua kos perjalanan pulang.
“Ketika tahu dapat bantuan, dia menangis. Kerana bantuan itu dia dapat meninggal di sisi keluarganya tidak lama kemudian.
“Itulah yang kami masih ingat. Jadi kami akan selidik pihak mana yang betul-betul memerlukan pertolongan supaya tidak disalah guna,” kata Gregory, yang turut pernah bertugas di Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu.
Mengenai sambutan perayaan Krismas, gereja akan meneruskan amalan tradisi seperti tahun lalu dengan mengadakan jamuan pada waktu tengah hari.
Semua masyarakat yang kurang berkemampuan termasuk kumpulan tersisih, pendatang asing serta gelandangan dijangka hadir memeriahkan sambutan perayaan berkenaan.
Gregory menjangkakan kira-kira 800 orang akan hadir memenuhi dewan komuniti yang terletak berdekatan gereja yang berusia hampir 100 tahun itu.


