ad
AGENDA

Menteri: Tayar treler tercabut punca kemalangan tujuh maut, 33 cedera

24 Dis 2024, 7:14 AM
Menteri: Tayar treler tercabut punca kemalangan tujuh maut, 33 cedera
Menteri: Tayar treler tercabut punca kemalangan tujuh maut, 33 cedera

PUTRAJAYA, 24 DIS: Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara di Melaka malam tadi yang mengakibatkan tujuh maut dan 33 cedera berpunca tayar lori treler tercabut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke menerusi kenyataan berkata dalam insiden itu, bas persiaran membawa 27 penumpang terbabit dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tayar itu, namun terbabas dan merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

Susulan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar segera menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas terlibat.

[caption id="attachment_679229" align="aligncenter" width="898"] Kemalangan melibatkan bas persiaran, treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh pada 23 Disember 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Loke turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan itu yang berlaku 8.45 malam tadi.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.