SHAH ALAM, 24 DIS: Kestabilan politik negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada pada tahap paling kukuh sejak 2008.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan kestabilan pentadbiran ini perlu diperjelaskan kepada rakyat supaya tidak keliru dengan persepsi dan kempen anti kerajaan.
Menurut beliau, Anwar menjadi perdana menteri pertama yang bertahan dalam tempoh lebih 22 bulan, kini mencapai 24 bulan selepas 2018.
“Beliau juga mengetuai koalisi yang paling besar dalam sejarah politik Malaysia membabitkan 19 parti ketika ini dan perdana menteri yang pertama kali meraih majoriti dua pertiga dalam parlimen sejak 2008.
“Kelebihan yang ada Anwar ini harus menjadi keutamaan untuk diterangkan kepada rakyat serta kepentingan kestabilan untuk membuat keputusan (dasar) yang terbaik dan mencerminkan pencapaian kerajaan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara Sembang Malam anjuran Media Selangor yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, malam tadi.
Dalam pada itu, Amirudin hampir memberi markah penuh terhadap pencapaian pentadbiran Anwar sejak menerajui negara pada November 2022.
Ahli parlimen Gombak itu memberikan sembilan markah yang menilai Anwar sebagai ahli politik yang tekun dan bekerja keras untuk negara.
“Namun, penonjolan Anwar selaku pemimpin itu menyebabkan dia terpaksa menanggung bebanan kerja dan kritikan berseorangan.
“Saya bukan cakap kabinet tidak berfungsi, tetapi ertinya orang akan melihat kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan Anwar Ibrahim. Ia menunjukkan imejnya bagus, tetapi bila kena serang dia seorang yang kena tanggung.
“Ini antara realiti yang harus disedari bahawa saya juga percaya kalau boleh rakan-rakan kabinet menanggung bersama-sama beban kerja ataupun populariti,” ujarnya.




