ad
AGENDA

Tinjauan Merdeka Center: Prestasi Kerajaan Perpaduan meningkat

23 Dis 2024, 1:04 PM
Tinjauan Merdeka Center: Prestasi Kerajaan Perpaduan meningkat

SHAH ALAM, 23 DIS: Penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 51 peratus awal bulan ini berbanding 46 peratus November tahun lalu.

Dapatan itu berdasarkan laporan kaji selidik Merdeka Center dari 27 November hingga 10 Disember lalu untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.

Tinjauan yang sama turut menilai prestasi Kerajaan Perpaduan berdasarkan lapan paramater yang menunjukkan peningkatan dalam hampir semua aspek setakat Oktober 2024 berbanding November 2023.

Paramater menjana pertumbuhan ekonomi merekodkan 44 peratus pengundi berpuas hati pada Oktober lalu berbanding hanya 32 peratus pada November 2023.

Bagi tempoh sama kadar kepuasan hati pengundi terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup turut meningkat kepada 32 peratus berbanding 24 peratus.

Prestasi Kerajaan Perpaduan memperbaiki integriti pegawai kerajaan turut mencatat peningkatan kepada 47 peratus berpuas hati berbanding 40 peratus bagi tempoh sama.

Bagi tempoh sama, 40 peratus berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah berbanding 37 peratus dan mengekalkan kedaulatan undang-undang meningkat 42 peratus berbanding 39 peratus.

Selain itu, membantu golongan yang mengalami kesempitan kewangan 47 peratus berbanding 45 peratus, meningkatkan kecekapan kerajaan 49 peratus berbanding 47 peratus dan memperbaiki hubungan etnik kekal pada 51 peratus bagi tempoh sama.

Menurut laporan itu, bagaimanapun, kadar ketidakpuasan terhadap kerajaan kekal tinggi pada 47 peratus.

“Jurang tipis antara pandangan positif dan negatif ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan terhadap tekanan kos sara hidup serta kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang dijangka berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Dalam tinjauan ini, seramai 1,207 pengundi berdaftar ditemu bual melalui telefon talian tetap dan mudah alih dengan komposisi responden mencerminkan profil pilihan raya kebangsaan.

Ia terdiri daripada 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) dan masing-masing enam peratus bagi Bumiputera Muslim dan Bumiputera bukan Muslim (dari Sabah dan Sarawak).

Responden dipilih menggunakan pensampelan rawak berstrata mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tinjauan ini dibiayai sepenuhnya oleh sumber kewangan dalaman Merdeka Center.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.