ad
AGENDA

150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir jangka dikumpul untuk dilupus

22 Dis 2024, 11:19 AM
150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir jangka dikumpul untuk dilupus

PASIR MAS, 22 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan mengumpul kira-kira 150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dilupuskan mengikut syarak.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata setakat ini 55,000 naskhah dikumpulkan dengan hampir separuh daripadanya di negeri ini khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Bachok yang mempunyai lima pusat pengumpulan.

Beliau berkata inisiatif itu digerakkan menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Mufti Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak berkuasa tempatan.

“Inisiatif ini dimulakan sejak 4 Disember lalu dan dijangka berakhir sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL) dengan kita juga mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran di daerah terjejas banjir,” katanya pada Program JEQ dan solidariti mangsa banjir di Masjid Taman Maka Utama, di sini hari ini.

Nik Yusaimi berkata terdapat beberapa kaedah untuk melupuskan al-Quran mengikut syarak termasuk kaedah pengeringan dengan abunya dibentuk menjadi kiub sebelum dilepaskan di tengah laut.

“Selain itu, terdapat pelupusan menerusi kaedah dinyahdakwatkan melibatkan proses menghilangkan dakwat al-Quran sebelum kertas dihancurkan serta di kitar semula untuk dijadikan kulit naskhah al-Quran dan sebagainya.

“Berdasarkan pemerhatian, program ini mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat yang terjejas banjir kerana mereka menerima naskhah al-Quran baharu diperakui KDN secara percuma bagi menggantikan yang rosak,” katanya.

Nik Yusaimi mendapati masih ada segelintir pihak melupuskan al-Quran menerusi kaedah yang tidak mengikut syarak termasuk mengambil mudah dengan melupuskan kitab itu di tempat kitar semula.

“Kita berharap tindakan ini dihentikan, malah kerjasama semua diperlukan termasuk komuniti dan pengusaha pusat kitar semula supaya menghormati serta memuliakan naskhah al-Quran," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.