BATU PAHAT, 22 DIS: Peniaga menanggung kerugian hampir RM1 juta gara-gara terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan tinggi.
Lelaki warga emas berusia 61 tahun terjebak dengan skim pelaburan itu selepas tertarik dengan iklan menerusi Facebook pada 23 September lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa kemudian berurusan dengan individu tidak dikenali menerusi WhatsApp.
Beliau berkata, individu terbabit turut meyakinkan mangsa sekiranya menyertai pelaburan berkenaan, warga emas itu akan menerima pulangan jauh lebih tinggi dalam tempoh singkat.
"Bermula 8 November hingga 17 Disember lalu, mangsa memasukkan wang untuk pelaburan ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM823,000.
"Mangsa kemudian ditunjukkan keuntungan diterima melalui aplikasi pelaburan berjumlah kira-kira RM1.1 juta.
"Mangsa mahu mengeluarkan keuntungan itu malangnya, individu terbabit memintanya membuat sejumlah pembayaran lain jika mahu mendapatkan hasilnya," katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Shahrulanuar berkata, mangsa tidak menuruti permintaan individu terbabit kerana mula curiga dengan kesahihan pelaburan berkenaan.
Katanya, mangsa sedar dia ditipu individu terbabit sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Usah terlalu percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan kadar keuntungan lumayan dalam tempoh singkat." katanya.