ad
AGENDA

PM: Kerajaan setuju teruskan pemberian khas kepada 900,000 pesara

21 Dis 2024, 8:10 AM
PM: Kerajaan setuju teruskan pemberian khas kepada 900,000 pesara

SUBANG, 21 DIS: Kerajaan bersetuju meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP, dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dicapai Jemaah Menteri semalam.

“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut melibatkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

“Amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember dan 1 Januari depan,” katanya dalam sidang media di sini.

Anwar berkata langkah meneruskan PKKP itu bagi memastikan golongan berkenaan menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup, sekali gus bukti keprihatinan Kerajaan MADANI selaras dengan konsep Ihsan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember itu sekali gus menjawab persoalan kira-kira 900,000 pesara kerajaan yang menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.

Sementra itu Perdana Menteri berkata kadar upah merupakan isu yang sangat penting memandangkan pertumbuhan ekonomi juga haruslah selari dengan peningkatan gaji, dengan mesej ini haruslah ‘dicakna’ bukan sahaja kerajaan, tetapi juga syarikat swasta yang memperoleh keuntungan besar.

Anwar berkata beliau tidak boleh mendesak pihak swasta menaikkan gaji, namun telah menunjukkan contoh yang baik, bermula daripada ‘keluarga’ perkhidmatan awam sendiri menerusi penyelarasan gaji baru-baru ini walaupun melibatkan implikasi kewangan besar.

“Kita mengharapkan dan menekankan supaya prestasi perkhidmatan awam meningkat, lebih cekap, telus dan mengelakkan daripada rasuah, penyelewengan, kelembapan, kita tekankan keras yang ini kemudian upah tidak naik, jadi bagi saya kurang adil.

“Sebab itu saya harap pihak swasta ambil contoh apa yang dilakukan kerajaan, kalau keuntungan dicatat baik, pulangkanlah sedikit kepada pekerja, kadar upah mesti ditingkatkan, kerajaan tidak patut campur tangan, tapi kerajaan harus beri bimbingan,” katanya.

Beliau berkata isu tatakelola pula tetap menjadi keutamaannya pada tahun hadapan, dan beliau telah mengarahkan ketua setiausaha negara, semua ketua pengarah dan ketua jabatan untuk memantau dan membuat laporan sekiranya terdapat salah laku di bahagian masing-masing.

"Saya tidak izinkan amalan lama, rundingan terus, curi komisen, ini bukan mudah kerana kita berhadapan dengan sesuatu yang sistemik, ini bukan soal menteri sahaja, tapi pegawai ke bawah, soal tatakelola, pengurusan cermat,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.