ad
BERITA UTAMA

MB sampai sumbangan kepada waris murid maut kena renjatan elektrik

20 Dis 2024, 12:00 PM
MB sampai sumbangan kepada waris murid maut kena renjatan elektrik
MB sampai sumbangan kepada waris murid maut kena renjatan elektrik
MB sampai sumbangan kepada waris murid maut kena renjatan elektrik

HULU LANGAT, 20 DIS: Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada keluarga Muhammad Harith Mohd Fazrul, 12, yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di sekolah agama di Seri Kembangan, Rabu lalu.

Sumbangan khas Dato’ Menteri Besar berjumlah RM5,000 itu disampaikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi ketika menziarahi waris Allahyarham di Bandar Baru Bangi di sini. Turut hadir Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Abbas berkata sumbangan khas itu tanda solidariti dan kepedulian Kerajaan Negeri terhadap pemergian dan kehilangan dialami keluarga berkenaan.

“Di harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga ini mendepani cabaran yang mereka hadapi,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada bapa mangsa, Mohd Fazrul Mohd Nasir, 40.

Mengulas lanjut, Abbas berkata beliau sudah melawat ke sekolah berkenaan dan meminta siasatan terperinci dijalankan berhubung kejadian renjatan elektrik hingga meragut nyawa seorang pelajar.

“Saya ke tapak kejadian pagi semalam dan kebetulan bertemu dengan Pegawai Unit Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

“Saya nyatakan kepada pihak terlibat supaya dibuat penyiasatan terperinci. Kalau boleh buat kajian forensik dan minta supaya hasil laporan diberikan kepada pihak saya dan Kerajaan Negeri untuk mengetahui apa punca berlaku renjatan elektrik ini,” katanya.

[caption id="attachment_678665" align="alignnone" width="785"] Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi (kanan) bersama Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media ketika menyampaikan sumbangan MBI untuk mangsa renjatan elektrik di Bandar Baru Bangi pada 20 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau berkata perkara itu perlu dipastikan tidak berulang lagi dan pihak berwajib perlu memastikan premis memiliki sijil layak menduduki bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CCC).

“Saya rasa sudah sampai masanya ambil inisiatif tegas untuk keselamatan anak-anak kerana saya difahamkan banyak lagi premis sekolah terutama Kafa tidak mempunyai sijil layak menduduki bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CCC).

“Saya juga sudah bincang dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kadar segera kita lihat satu-satu Kafa yang ada dalam DUN Seri Serdang khususnya, pastikan proses untuk dapatkan CF atau CCC itu,” katanya.

[caption id="attachment_678666" align="alignnone" width="831"] Mohd Fazrul Mohd Nasir ditemu bual ketika penyampaian sumbangan MBI untuk mangsa renjatan elektrik di Bandar Baru Bangi pada 20 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Sementara itu, Mohd Fazrul berkata beliau berterima kasih dengan sumbangan diterima yang sedikit sebanyak boleh membantu keperluan dan urusan keluarganya.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak membantu. Sangat bersyukur. Walaupun tidaklah dapat gantikan anak saya, tapi ia membantu untuk urusan yang akan datang.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian ini, tetapi semua pihak perlu ambil iktibar. Sistem perlindungan dan pendawaian elektrik yang baik bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Beliau turut berkongsi anaknya yang sepatutnya mengambil keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) semalam namun tidak kesampaian akibat kejadian meragut nyawa itu, mendapat keputusan jayyid (baik).

Dalam kejadian pada Rabu lalu, murid tahun enam itu terbabit dikatakan bermain bersama beberapa rakan di laluan pejalan kaki sebelum dipercayai terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang besi dan kemudian rebah di atas penutup longkang.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.