SHAH ALAM, 19 DIS: Keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar seorang penceramah bebas dibuat dengan teratur mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima aduan berhubung salah laku pemegang tauliah tersebut, iaitu Mohd Masri Mohd Ramli.
Jelasnya lagi, siasatan terperinci dijalankan Jawatankuasa Kecil Aduan dan Siasatan, selaras Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.
Beliau turut mengesahkan individu tersebut mengemukakan rayuan bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah, yang akan diteliti dan diputuskan Jawatankuasa Rayuan.
"Mais menasihatkan individu berkenaan dan semua pihak menghormati proses rayuan yang sedang dilaksana menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.
"Apa-apa keterangan atau penjelasan berhubung penarikan tauliah itu hendaklah dibuat individu tersebut mengikut saluran sewajarnya, bukan dengan menularkannya di media sosial.
[caption id="attachment_669828" align="aligncenter" width="742"] Jemaah memenuhi ruang solat ketika khutbah Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
"Mais juga menggesa semua pemegang tauliah mengajar agama Islam untuk mematuhi dan tidak melanggar atau mempertikai fatwa yang diwartakan," tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Aziz, isu istighathah (meminta pertolongan) dan tauhid tiga yang ditimbulkan dalam Facebook Masri Ramli pada 17 Disember lalu dijelaskan dalam fatwa yang diwartakan di Selangor.
Menurutnya, berdoa kepada ALLAH SWT menerusi (wasilah) para anbiya’, auliya’ dan solihin sama ada masih hidup atau meninggal dunia termasuk dalam perkara khilaf (perbezaan pandangan) ulama.
"Oleh itu, adalah lebih baik dan wajar untuk tidak menghukumkan syirik secara mutlak terhadap perkara yang diharuskan sebahagian para ulama.
"Isu khilafiyyah ini dijelaskan dalam Fatwa Menangani Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furu’ yang diwartakan pada 31 Julai 2014," katanya lagi.
Berkaitan isu tauhid tiga perkara pula, Abdul Aziz berkata ia dinyatakan dalam fatwa hukum buku bertajuk “Al-Iman Arkanuhu Wa Hakikatuhu Wa Mubtilatuhu” yang diwartakan pada 21 Jun 2018.
Katanya, fatwa itu menjelaskan buku berkenaan bercanggah daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana mengandungi elemen yang tidak disebut oleh ulama Salaf dan Khalaf.
"Mais menegaskan mana-mana pihak termasuk pemegang tauliah yang melanggar atau mempertikai fatwa diwartakan adalah melakukan kesalahan bawah seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
"Dalam hal ini, jika kesalahan itu dilakukan pemegang tauliah mengajar, tauliah boleh ditarik balik menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.
"Mais juga menegaskan mana-mana orang berkelayakan boleh memohon tauliah bagi pengimarahan masjid dan surau serta melaksanakan dakwah di Selangor," katanya lagi.