SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan Negeri mengarahkan penternak yang melepaskan lembu di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam untuk memindahkan ternakan mereka ke kawasan lebih selamat selewat-lewatnya pada 31 Januari.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata arahan memindahkan lebih 1,000 lembu itu berikutan ternakan berkenaan memberi ancaman keselamatan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya.
"Kita menerima banyak laporan daripada orang ramai berkaitan isu lembu berkeliaran ini sehingga berlakunya insiden kehilangan nyawa selain menceroboh Hospital Tengku Ampuan Jemaah di Sabak Bernam.
"Perbincangan telah dilakukan bersama pemilik ladang dan mereka mengatakan tiada polisi yang membenarkan sebarang ternakan dalam ladang. Susulan itu, kita arahkan mereka maklumkan kepada penternak pindahkan semua ternakan ke lokasi lebih selamat," katanya.
[caption id="attachment_678410" align="aligncenter" width="760"] EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail menunjukkan laporan kemalangan disebabkan lembu yang berkeliaran di Ladang SD Ghutrie, Sabak Bernam ketika sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 18 Disember 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bercakap dalam sidang akhbar di pejabatnya petang tadi, Rizam turut mengesa semua penternak supaya mematuhi syarat dan menguruskan ternakan dengan baik.
"Kita tidak menghalang mereka hendak menternak haiwan peliharaan tetapi perlu titik berat isu penjagaan dan keselamatan orang awam. Paling penting, perlu ada sistem berkandang atau berpagar," katanya,
Dalam perkembangan berasingan, Rizam menjelaskan Kerajaan Negeri bakal melaksana sistem penandaan (tagging) bagi semua haiwan ternakan bagi memudahkan proses pengesanan pemilik.
"Sekiranya tiada tanda, ternakan ini akan dianggap sebagai haiwan liar. Pelaksanaan sistem ini turut dibincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah stanco EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim," katanya.