ad
BERITA UTAMA

Negeri hasrat bina gelanggang multifungsi, galak minat sukan pickleball

17 Dis 2024, 1:00 PM
Negeri hasrat bina gelanggang multifungsi, galak minat sukan pickleball

SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Negeri berhasrat membina gelanggang multifungsi untuk menarik minat anak muda di kawasan luar bandar menyertai sukan pickleball tahun depan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata cadangan membabitkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah daerah (PTD) untuk menerokai kawasan bersesuaian bagi tujuan pembangunan.

“Untuk promosi sukan ini kena lihat sejauh mana kemudahan yang boleh membantu masyarakat untuk bermain. Kalau di bandar mungkin ada gelanggang yang bersifat besar untuk dimanfaatkan.

“Namun kurang disediakan di luar bandar. Jadi perlu ada satu perancangan dan penglibatan dari agensi Kerajaan Negeri bina gelanggang yang boleh ubah seperti kegunaan untuk aktiviti bola keranjang, bola tampar dan juga pickleball,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara SKOP terbitan Selangor TV.

Pada masa sama, Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri juga menumpukan penganjuran sukan pickleball hingga ke peringkat antarabangsa dengan giat melaksanakan pembangunan akar umbi.

“Selangor memang dari dahulu sentiasa di hadapan dalam bidang sukan, kita melihat ada potensi untuk mengembangkan sukan pickleball ini.

“Perbicangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia juga akan dibuat untuk keperluan sama ada pickleball boleh diperkenalkan sebagai salah satu sukan dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026,” jelasnya.

Dalam Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menggalakkan perkembangan sukan ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru PBT menyedia gelanggang pickleball di taman awam dengan menaik taraf gelanggang badminton sedia ada.

Sebelum ini, Amirudin dilapor berkata acara sukan dan rekreasi dijadikan teras inisiatif dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.