ad
BERITA UTAMA

Selangor peruntuk RM20 juta, jayakan pembangunanan sektor pertanian

12 Dis 2024, 12:00 PM
Selangor peruntuk RM20 juta, jayakan pembangunanan sektor pertanian

SHAH ALAM, 12 DIS: Selangor memperuntuk lebih RM20 juta bagi menyokong agenda pembangunan sektor pertanian negeri sepanjang tahun ini, kata EXCO pertanian.

Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor menumpukan kepada pertanian moden dan bernilai tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import selain membantu petani meningkatkan pendapatan.

“Selangor menerusi Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) kita tingkatkan produktiviti dan pendapatan warga tani dan menerusi dasar ini kita galakkkan mereka menceburi pertanian bernilai tinggi.

“Ini bagi memastikan kemajuan industri makanan seiring kemajuan industri lain kerana pertanian merupakan sektor strategik yang tidak boleh diabai dan ditinggalkan. Sebab itu peningkatan produktivitnya menjadi tumpuan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran aplikasi Agro Selangor dan serahan insentif pertanian di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, Ir. Izham menyampaikan sejumlah RM2.5 juta insentif pertanian yang memanfaatkan 401 penerima termasuk nelayan, petani, persatuan dan individu.

Bantuan disalur termasuk peralatan pertanian, hidroponik, akuaponik, industri asas tani, makanan ternakan, enjin bot nelayan dan unjam.

Sementara itu Pengetua Kolej Melati Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Nor Aizam Adnan berkata insentif hampir RM23,000 diterima bagi projek kebun Eco Melati itu akan digunakan untuk menambahbaik struktur projek berkenaan.

“Kita sedang usahakan tanaman hidroponik sayur ‘pak choy’, dengan bantuan ini kita cadang naik taraf struktur dan menambah kepada akuaponik pula.

“Sudah lebih setahun setengah tanaman hidroponik itu diusahakan dan bantuan ini amat membantu untuk kami meningkat lebih jauh,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.