BERITA UTAMA

Sultan kenang warisan kegemilangan negeri, dari ekonomi ke sukan

12 Dis 2024, 1:00 AM
Sultan kenang warisan kegemilangan negeri, dari ekonomi ke sukan
Sultan kenang warisan kegemilangan negeri, dari ekonomi ke sukan
Sultan kenang warisan kegemilangan negeri, dari ekonomi ke sukan

Oleh Fitri Hazim Hazam

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terkenal sebagai sosok yang amat menghargai seni, warisan dan budaya. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sememangnya pemimpin tegas, namun nilai sentimentalnya juga tinggi.

Manakan tidaknya, ketika syarikat pengeluar tayar global, Goodyear mengumum penutupannya pada Mac lalu, Sultan Selangor terkenang ekspedisi Baginda pada 1997 dan 2007. Peking To Paris Challenge dari Beijing ke Paris dan Rally Road to Mandalay 2015, turut menggunakan tayar Goodyear.

Dalam hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor kesembilan itu menggunakan tayar keluaran syarikat berkenaan pada keretanya, Ford Model B 1932, Chevrolet Fangio Coupe 1940 dan Jaguar XK140 FHC 1956.

[caption id="attachment_677486" align="alignleft" width="404"] Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

“Sepanjang 16,000 kilometer (km) dan 8,400km perjalanan merentasi pelbagai bentuk muka bumi termasuk padang pasir, salji dan jalan berbatu, Tuanku bersama pemandu, Datuk Richard Curtis tidak mengalami kejadian tayar pancit dengan Goodyear,” menurut hantaran berkenaan.

Titah Baginda, tayar Goodyear dipasang pada kereta keluaran tempatan pertama Malaysia, Proton Saga pada 1985. Selain terpilih dipasang untuk Ford Model T pada 1908, kereta mampu milik keluaran besar-besaran pertama di dunia.

Simpan kiswah

Baginda bertitah dan memuji syarikat itu atas sumbangan kepada ekonomi Selangor dan Malaysia sejak 52 tahun lalu.

Selain menyimpan koleksi lukisan dan keris, Sultan Sharafuddin turut menyimpan kain kelambu Kaabah tulen dikenali sebagai kiswah. Dibeli Baginda kira-kira 10 tahun lalu.

Diperbuat daripada kain hitam, sulaman ayat al-Quran pada kiswah itu menggunakan benang sadur emas dan perak tulen. Kini ditempatkan di Istana Alam Shah, Klang.

[caption id="attachment_677487" align="alignright" width="400"] Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Pertama kali ditunjukkan menerusi Facebook Selangor Royal Office ketika Baginda mengabadikan gambar kenangan bersama bersama anakandanya, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berlatar belakang kain kelambu Kaabah itu pada Oktober lalu.

Bola sepak dan Tuanku amat dekat. Kelahiran Piala Sultan Selangor (TSSC) merupakan cetusan idea Sultan Sharafuddin, diperkenal pada 2001. Tahun sama Baginda ditabalkan Sultan Selangor.

Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura. Di samping itu, turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.

TSSC adalah untuk mempererat persaudaraan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia (Liga M) suatu ketika dahulu iaitu Selangor FA dan juga Singapura FA.

Legenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui teruja dengan penganjuran Piala Sultan Selangor. Disifatkan platform mengimbas kembali nostalgia permusuhan tradisi antara kedua-dua pasukan.

"Terima kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mencipta kejohanan Piala Sultan Selangor. Kita harap kejohanan ini dapat diteruskan bagi mengekalkan nostalgia kedua-dua pasukan," kata legenda bola sepak Selangor, Datuk Dollah Salleh.