Oleh ABDUL RAHIM SABRI
Foto HARUN TAJUDIN
Sejak 2011, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mewujudkan pengajian tahfiz di istana untuk pelajar terpilih termasuk anak keluarga asnaf.
Seiring siapnya pembinaan Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah, Klang pada tahun sama, Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah, Klang dijalankan di rumah ibadah tersebut.
Ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk asrama, makan minum, pakaian dan pengangkutan pelajar ditaja sepenuhnya Pejabat DYMM Sultan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) atas titah Tuanku selaku penasihat dan penaung.
Pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan keaktifan mereka dalam kegiatan kokurikulum dan program amali Islam serta lulus temu duga Bahagian Hal Ehwal Islam Pejabat DYMM Sultan Selangor. Kebanyakan mereka terdiri kalangan keluarga asnaf.
Seramai 32 pelajar lelaki mengikuti pengajian itu melalui tiga pengambilan. Mereka dipilih dari kalangan anak jati negeri setiap lima tahun. Seramai 12 individu berusia 13 tahun menjadi perintis antara 2011 hingga 2015.
[caption id="attachment_677282" align="alignleft" width="405"]
Pengetua Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful.[/caption]
Pengambilan kedua antara 2016 hingga 2020 pula melibatkan 10 orang. Mereka menamatkan pengajian di situ kecuali empat orang yang berpindah ke sekolah lain.
Dalam pengambilan ketiga mulai 2021 hingga 2025, seramai 10 pelajar lagi iaitu sembilan orang mewakili setiap daerah di Selangor. Klang diberi keistimewaan menghantar dua pelajar.
Menurut Pengetua Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful, penubuhan pusat pengajian itu bertujuan melahirkan generasi penghafaz al-Quran lepasan Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah, Klang.
“Secara tidak langsung, ia simbolik keprihatinan institusi kesultanan negeri Selangor dalam memartabatkan al-Quran sebagai sumber pegangan utama,” katanya pada 20 November.
Teliti prestasi
Baginda mengambil berat hal ehwal kebajikan dan pencapaian pelajar. Laporan prestasi mereka juga dipersembah pengurusan tahfiz berkenaan kepada Tuanku setiap tahun.
Setiap hari, pelajar menghafaz al-Quran selepas subuh dan mengulanginya selepas maghrib di ruang solat utama Masjid Istana Diraja, sekali gus mengimarah rumah ibadah tersebut.
Kemudian, mereka dibawa ke Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) di Alam Impian seliaan Jais. Sesi akademik berlangsung antara jam 9.30 pagi hingga 3 petang.
Pelajar menyiapkan tugasan sekolah di ruang bawah masjid itu bermula 9 hingga 10.30 malam sebelum tidur di asrama. Mereka diawasi warden Muhammad Izaz Izzuddin Abu Bakar, juga guru tahfiz.
Membesar dalam kawasan istana hingga berusia 17 tahun, pelajar tersebut juga sering dipelawa Tuanku atau kerabat diraja untuk menghadiri majlis doa selamat atau sebarang kegiatan lain.
“Mereka seronok sebab beruntung dapat pengalaman baru, belajar dalam ruang lingkup Istana. Tuanku dan permaisuri juga beri duit raya kepada pelajar pada Ramadan setiap tahun,” kata Mohd Rasid.
Mereka juga diberi kebebasan untuk menentukan hala tuju masing-masing selepas tamat pengajian. Setakat ini, 18 penghafaz al-Quran berjaya dilahirkan. Bilangan itu tidak termasuk empat pelajar pengambilan ketiga yang masih menuntut.
Berdasarkan rekod, rata-rata mereka telah berkerjaya antaranya pendidik, pegawai perubatan, jurutera atau imam. Ada juga menyambung pengajian ke universiti tempatan atau Timur Tengah.
“Mereka bebas memilih apa-apa bidang. Namun juga ada perancangan untuk memilih mereka melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah,” kata Mohd Rasid yang bertugas di istana berkenaan sejak 2005.



