ad
BERITA UTAMA

Atasi banjir di Lembah Klang, Selangor hasrat bina lebuh raya air

10 Dis 2024, 11:00 AM
Atasi banjir di Lembah Klang, Selangor hasrat bina lebuh raya air
Atasi banjir di Lembah Klang, Selangor hasrat bina lebuh raya air

SHAH ALAM, 10 DIS: Pembinaan lebuh raya air yang berfungsi mengalirkan lebihan air terus ke laut antara cadangan Selangor mengatasi masalah banjir di Lembah Klang.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata kaedah yang sudah lebih 10 tahun digunakan di Jepun itu wajar dicontohi dalam usaha mendepani bah.

“Kita sudah buat kajian dan perbincangan dengan pakar, malah saya sudah melihat sendiri kaedah ini dilaksana di Saitama, Jepun yang sudah lebih 10 hingga 15 tahun digunakan untuk uruskan bencana seperti banjir.

“Keperluan lebuh raya air ini adalah supaya kita dapatkan alirkan lebih air dalam skala besar ke laut. Air yang sedia ada diuruskan oleh sungai-sungai sedia ada, jadi tidak berlaku limpahan yang menyebabkan banjir,” katanya dalam program SKOP terbitan Selangor TV.

Menurut Izham jika berjaya dilaksanakan, projek itu akan dibina secara berfasa terutama melibatkan kawasan kritikal dalam tempoh lima hingga 10 tahun dilengkapi beberapa kemudahan termasuk terowong, rumah pam dan dropshaft (struktur terowong vertikal).

“Cadangan itu akan dibawa menerusi pelan induk Pengurusan Air Selangor seterusnya memohon bantuan kerajaan persekutuan untuk membantu Kuala Lumpur dan Selangor merealisasikan cadangan itu,” katanya.

[caption id="attachment_547652" align="alignnone" width="860"] EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau lokasi projek tebatan banjir di kawasan Sungai Kapar Kecil, Klang pada 4 November 2022. Foto Facebook Izham Hashim[/caption]

Selain itu, beliau menjelaskan projek tebatan banjir di Selangor melibatkan peruntukan kira-kira RM3.5 bilion yang kini berada di pelbagai peringkat akan turut meminimumkan risiko bencana alam itu.

“RM3.162 bilion dari kerajaan persekutuan untuk 12 projek, manakala RM450 juta (Kerajaan Negeri) untuk 45 projek. Selain itu buat pertama kalinya kita turut luluskan RM5 juta bagi selenggara parit tidak bertuan dengan fasa pertama sudah berjalan dan fasa kedua dijangka minggu depan,” katanya.

Izham turut memaklumkan Selangor kini menggunakan kaedah binaan sistem panel serbaguna (SPS) yang lebih efektif mengelak insiden ban rebak berulang terutama di kawasan Kuala Langat dan Tanjong Karang.

Sebelum ini beliau berkata SPS merupakan teknologi pembinaan dalam bentuk bahan panel konkrit pratuang yang dipasang ke dalam sistem struktur rangka dan dinding konkrit. Penggunaan teknologi ini bertujuan penambakan sungai, jalan masuk, tembok penahan, asas tetulang jalan kereta api dan sebagainya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.