Oleh NADIAH ZAMLUS
Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Kurniaan tanah daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah pada 1930 membawa kepada penubuhan universiti pertanian pertama di negara ini.
Pengorbanan Sultan Selangor kelima membuka sekolah pertanian di Serdang itu bagi memperbanyak sumber negara selain memberi ruang anak tempatan mempelajari cara meningkatkan hasil tani. Titah Baginda yang memerintah antara 1898 hingga 1938 itu ada dipetik akhbar The Singapore Free Press terbitan Mac 1930 dan Jurnal The Malayan Agricultural yang terbit pada 1947.
Jasa Baginda buat anak bangsa itu membolehkan Sekolah Pertanian Malaya dibuka secara rasmi pada 1931. Namanya kekal hingga 1941. Sekolah tersebut menawarkan dua program iaitu diploma tiga tahun dan program persijilan satu tahun.
Tanggal 23 Jun 1947 menyaksikan sekolah itu dinaik taraf Gabenor Malayan Union Sir Edward Gent sebagai Kolej Pertanian Malaysia antara 1947 hingga 1971.
Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pula tertubuh apabila kolej berkenaan bergabung dengan Fakulti Pertanian Universiti Malaya. UPM memulakan sesi akademik pada 23 Julai 1973.
Pada 3 April 1997, nama universiti tersebut ditukar kepada Universiti Putra Malaysia mengambil sempena nama Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Penukaran itu bagi memberi gambaran UPM sebagai institusi pengajian tinggi yang mencakupi pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi maklumat. Sejak 1980-an, pengajian di UPM turut meliputi kedua-dua aspek berkenaan.
Sungguhpun begitu, UPM terus memajukan bidang pertanian, lebih-lebih sektor itu kian penting di seluruh dunia kebelakangan ini dalam memastikan kelestarian sumber bekalan makanan.
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berkenan melancarkan penjenamaan semua kegiatan pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan UPM bawah jenama Pertanian Untuk Rakyat atau PUTRA pada 16 Mei tahun ini.
Kepentingan masyarakat
Akronim Putra secara langsung melambangkan sumbangan penting universiti tersebut dalam memperkasa bidang pertanian selain memajukan lagi sektor tersebut demi kepentingan seluruh masyarakat.
Namun, kepentingan itu tidak mewajarkan cadangan untuk mengembalikan nama lama UPM. Bahkan, Baginda tidak berkenan terhadap cadangan pihak tertentu untuk mengembalikan nama lama UPM. Apatah lagi, Lembaga Pentadbir UPM serta Baginda selaku Canselor tidak diberi makluman.
“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama melibatkan UPM,” titah Baginda pada 30 November.
Pada masa ini, UPM diiktiraf sebagai universiti terbaik dalam melahirkan siswazah yang menjadi rebutan industri pada 2024 oleh Talentbank, syarikat yang membuat analisis komprehensif Indeks Kebolehkerjaan Siswazah Nasional Talentbank.
Pengiktirafan hasil penilaian kebolehpasaran siswazah di seluruh negara itu meningkatkan lagi kebolehpasaran lepasan UPM sekali gus berlaku permintaan tinggi terhadap mereka termasuk tawaran bergaji tinggi.
[caption id="attachment_677105" align="alignleft" width="413"]
Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah[/caption]
UPM turut diberi penarafan enam bintang dalam 20 bidang pengajian antaranya sains dan teknologi makanan, aeroangkasa dan aeronautikal, kaunseling dan pengajian bahasa.
Menurut Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, institusi Kesultanan Selangor senantiasa menyokong perkembangan UPM sejak peletakan batu asasnya pada 19 Mac 1930.
Sultan Sharafuddin selaku Sultan Selangor kesembilan giat meneruskan legasi menaungi UPM. Peranan dan pandangan Baginda memainkan peranan penting dalam melonjak kecemerlangan UPM.
“Setiap kali saya menghadap Tuanku (Sultan Sharafuddin), Tuanku bertanya macam-macam. Dan sentiasa ingin pastikan UPM terus melangkah jauh dalam agenda pertanian khususnya selain aspek lain.
Potensi pertanian
“Baginda turut berkongsi strategi untuk membantu UPM mencapai kejayaan. Usaha kami untuk meningkatkan agenda pertanian dan meningkatkan keterjaminan makanan juga disokong penuh oleh Tuanku,” kata Dr Ahmad Farhan.
Terbaharu, Sultan Sharafuddin dalam titahnya mengesyor UPM menjalin kerjasama dengan pemain industri dalam bidang pertanian lain bagi mempopularkan semula sektor pertanian kepada generasi muda.
Titah Baginda, pandangan negatif masyarakat yang melabel bidang itu sebagai tiada masa depan atau berkelas rendah perlu diubah. Baginda mahu masyarakat diyakinkan betapa pertanian memiliki potensi masa depan yang cerah.
“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana pertanian tetap menjadi satu sektor yang perlu dikekalkan dan merupakan sektor yang penting,” titah Baginda.

Justeru, pemasyhuran nama-nama Sultan Selangor diabadi pada bangunan sekitar institusi pendidikan itu jelas melambangkan jasa Kesultanan Selangor dalam memartabat pendidikan negara.
Nama DYMM Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor keempat, diabadikan pada perpustakaan bagi menghargai berbagai-bagai kemajuan yang dicapai sepanjang zaman pemerintahan Baginda. Majlis yang berlangsung pada 23 Mei 2022 itu disempurnakan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Jasa penting Sultan Abdul Samad antaranya binaan jalan raya, penubuhan bandar baharu di Kuala Lumpur dan mendapatkan kereta api dari Kuala Lumpur ke Klang yang dibuka dengan rasminya oleh Baginda pada 1886.
Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pula dirasmi pada 25 April 1996 oleh Sultan Salahuddin. Nama Tuanku dimasyhur pada pusat itu susulan keprihatinan Baginda terhadap nilai kesenian dan kebudayaan tanah air.
Mengimbau perkembangan UPM dari zaman pemerintahan Sultan Alaeddin hingga Sultan Sharafuddin, Dr Ahmad Farhan memberitahu banyak perubahan berlangsung seiring peredaran zaman.
Beliau antaranya menjelaskan bangunan asal Sekolah Pertanian yang diasas Sultan Alaeddin kini dijadikan lokasi pentadbiran dan dewan konvokesyen.
Dahulunya, kawasan itu ada petak sawah untuk latihan pertanian. Kini, bangunan itu juga menjadi sebahagian daripada Fakulti Ekologi Manusia dan pejabat Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
“Kita ada perancangan untuk membaik pulih dan menaik taraf bangunan lama tersebut. Kerana itu legasi universiti dan sejarah penting. Mungkin dijadikan sebagai bangunan warisan juga,” katanya pada 28 November.


