Oleh ABDUL RAHIM SABRI
Mata, kaki dan tangan, begitulah diibaratkan fungsi institusi Orang Besar Daerah (OBD) di Selangor.
Jawatan itu pernah dimansuhkan British, namun Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah mengembalikan peranan OBD pada 1874, setelah Baginda menaiki takhta. Usaha dilaksana berperingkat bermula 1898 hingga 1938.
Pada 20 Oktober 1898, Baginda mengurniakan gelaran kepada lapan pembesar merangkumi dua pembesar jajahan iaitu Dato’ Penggawa Tua, Paduka Maha Bijaya dan Dato’ Penggawa Muda, Paduka Maha Bijaya.
Diikuti enam pembesar istiadat. Bermula dengan Dato’ Maharaja Lela Setia Paduka, Dato’ Shahbandar DiRaja, Dato’ Bentara Kiri Bentara Dalam ‘Amar Diraja’, Dato’ Bentara Kiri Bentara Luar ‘Raja DiRaja, Panglima Dalam dan Dato’ Megat.
Sultan Alaeddin memandang serius peranan OBD sehingga menterjemahkannya menerusi buku Peranan Peraturan Nasihat Bagi Ikatan Raja-Raja dan Panduan Orang Besar pada 2 Julai 1928.
Antara kandungan dalam buku itu menyebut, Orang Besar Jajahan menerima titah perintah berkaitan kebajikan, menjaga keamanan adat istiadat raja dan menerima apa-apa titah di sebelah jajahan Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.
Selain itu, mereka turut diarahkan menghadiri mesyuarat Majlis Penghulu-Penghulu dalam jajahan. Melawat setiap mukim dalam jajahan dan memajukan kehidupan rakyat serta menjamin keamanan mereka.
Semasa pemerintahan DYMM Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj pula, OBD perlu melaporkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkaitan hal ehwal rakyat yang diperolehi daripada penghulu setiap mukim.
Maklumat itu berkaitan situasi ekonomi penduduk, politik, hal ehwal penternakan dan pertanian. Makluman lain antaranya masalah kehidupan orang Melayu di kampung, serta inisiatif membela nasib melalui bantuan kerajaan serta pendidikan.
Maklumat itu perlu sampai kepada baginda selewat-lewatnya 10 haribulan setiap bulan. Perkara itu dinyatakan dalam surat setiausaha sulit Baginda bertarikh 15 Oktober 1949 kepada setiausaha Kerajaan Negeri.
Fungsi OBD berlaku perubahan mengikut peredaran waktu. Namun demikian, asasnya tetap sama. Bertanggungjawab dan terpikul dibahu amanah menjaga kepentingan rakyat di setiap daerah di dalam Selangor.
**Artikel ini diolah daripada buku Sejarah Pewarisan dan Peranan Orang Besar Daerah Selangor, muka surat 97-110.


