SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri merencana tindakan proaktif termasuk menambah peruntukan khas kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi menjamin kebersihan bandar raya itu.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pembangunan Klang dibincang secara panjang lebar melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
“Banyak projek tebatan sedang berjalan namun kita perlu nyatakan projek bukan boleh siap dalam masa sehari. Berkaitan Sungai Klang kotor, sekarang keadaannya semakin bersih dan menunjukkan kualiti air semakin baik.
"Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan ini, Kerajaan Negeri dengan Selangor Maritim Gateway akan terus bekerjasama untuk meningkatkan lagi kualiti air di Sungai Klang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Suee Lim menambah, kewujudan kawasan perindustrian yang banyak sehingga menambah kebanjiran warga asing juga menjadi penyumbang kepada kemerosotan tahap kebersihan di Klang.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk majikan memberi kerjasama bagi meningkatkan tabiat menjaga kebersihan sekali gus menjadikan Klang bandar raya yang indah.
“Data menunjukkan lebih 250,000 warga asing terdapat di Klang disebabkan banyak kawasan industri. Perkara ini perlu dilakukan bersama dan tidak boleh hanya bergantung kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) semata-mata,” katanya.
Khamis lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan Bandaraya Diraja Klang yang masih kotor dan tidak teratur.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah walaupun pembangunan berkembang pesat, masih terdapat kawasan yang kotor termasuk sungai yang teruk tercemar dengan sampah sarap.
Sultan Selangor bertitah Baginda banyak menerima rungutan orang ramai terutama pelancong kapal persiaran yang memasuki Pelabuhan Klang, menyatakan pemandangan di sana dan Klang begitu tercemar dan menjijikkan.