SHAH ALAM, 9 DIS: Pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran berbanding 100 peratus yang sepatutnya dibuat, kata EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.
Mengumumkan keputusan penilaian semula cukai tersebut, beliau memberitahu mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 1 Januari 2025.
"Sebagai contoh, jika cukai taksiran pangsapuri yang dibayar pada 2024 berjumlah RM100 setahun, selepas penilaian semula ia menjadi RM200 setahun yang sepatutnya dikutip PBT.
“(Namun), kawalan kenaikan sehingga 25 peratus yang ditetapkan menjadikan jumlah cukai baharu yang dibayar pada 2025 adalah RM125 setahun berbanding RM200 yang sepatutnya dikutip," katanya.
Bercakap dalam sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata pemberian diskaun itu dikuat kuasa selama lima tahun, dengan penambahan kewangan berjumlah RM355 juta bagi semua PBT.
[caption id="attachment_676991" align="alignleft" width="458"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato' Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika sidang media berkenaan kadar baharu cukai taksiran 2025 di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 9 Disember 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Suee Lim, kadar baharu cukai taksiran dibuat selepas negeri mengambil kira keluhan rakyat dan pemegang taruh yang terbeban jika berlaku kenaikan sehingga 100 peratus.
“Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan keupayaan PBT dengan menyedia pelbagai kemudahan infrastruktur awam yang sentiasa selesa, bersih dan selamat untuk digunakan,” katanya.
Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran dalam tempoh antara 20 hingga 40 tahun lalu di kawasan pentadbirannya.
Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang 32 tahun sejak 1992.
Majlis Bandaraya Subang Jaya pula tidak menaikkan cukai selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway, manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor 28 tahun sejak 1996.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.
Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.