PBT

MBDK bentang senarai projek cegah banjir bermasalah Januari ini

6 Dis 2024, 6:10 AM
MBDK bentang senarai projek cegah banjir bermasalah Januari ini

SHAH ALAM, 6 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan membentang senarai projek penyelenggaraan banjir bermasalah di daerah itu Januari depan.

Datuk Bandar Dato’ Abd Hamid Hussain berkata senarai itu akan dibentang kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan tindakan lanjut bagi menangani isu banjir secara menyeluruh.

“Saya baru habis bermesyuarat bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan beliau minta sediakan senarai projek penyelenggaraan isu banjir untuk dibentang pada Januari depan.

“Penyelenggaraan projek banjir mungkin hadapi masalah dalam pelbagai aspek antaranya gangguan utiliti dan lebuh raya yang menyebabkan kelewatan,” katanya dihubungi Selangorkini.

Abd Hamid memaklumkan MBDK kini sedang melaksana 15 projek cegah banjir dengan peruntukan RM17.5 juta termasuk naik taraf perparitan dan pembinaan kolam tadahan.

Beliau berkata 10 projek sedang dalam pelaksanaan sementara selebihnya dalam proses pengiklanan dan penilaian ukur bahan.

Beliau turut menjelaskan MBDK mengenal pasti titik panas berlakunya banjir dan akan menangani isu tersebut secara keseluruhan.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan Bandaraya Diraja Klang yang masih kotor dan tidak teratur.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menitahkan agar Kerajaan Negeri bersama MBDK mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir termasuk merangka satu pelan dan membentuk pasukan khas.

Baginda turut bertitah mahu melihat hasil dalam masa terdekat dan tidak mahu mendengar lagi apa-apa alasan jika gagal mengatasi masalah yang melanda.