SHAH ALAM, 5 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencadangkan mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan serta hukuman berkaitan kes rasuah.
Dalam temu bual eksklusif bersama The Star baru-baru ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi amaran kegiatan rasuah telah berakar umbi kerana orang bawahan meniru sikap tidak jujur pihak atasan.
Tegas baginda, rasuah telah menjalar menjadi penyakit yang melanda kakitangan kerajaan disebabkan kegagalan menangani isu tersebut dengan pantas termasuk kelewatan prosiding mahkamah.
"Beberapa kes rasuah mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Penubuhan mahkamah khas rasuah dan menggubal undang-undang pencegahan yang lebih kukuh adalah jalan ke hadapan dalam memerangi rasuah.
“Orang yang terlibat dengan rasuah mesti berdepan hukuman berat. Jika hukumannya tidak berat, ia tidak akan berkesan.
“Anda boleh lihat di Vietnam dan China, jika ada rasuah, mereka tembak. Mereka bunuh orang yang melakukan kesalahan, bukan hanya memberi hukuman penjara 20 atau 30 tahun,” tegas baginda.
Sultan Sharafuddin juga menyuarakan kebimbangan mengenai kes rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik.
"Rasuah di kalangan penjawat kerajaan dan ahli politik sekarang bukan sedikit. Ia seperti aktiviti geng, dan ia menakutkan,'' tegas baginda.
Menyentuh mengenai rasuah dalam polis, baginda bertitah pasukan keselamatan itu perlu mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap mereka.
Mengimbau kembali ketika berada dalam pasukan polis, baginda bertitah lencana tangan bersalaman menggambarkan sokongan yang diberikan kepada orang awam.
"Saya tidak suka mengatakan ini, tetapi saya fikir sesuatu seperti 'tangan hantu' mengawal mereka. 'Tangan hantu' yang tidak boleh dilihat. Polis sepatutnya lebih kepada orang ramai dan tidak memihak kepada pihak tertentu,’’ titah baginda.
Sultan mengingatkan rakyat meletak kepercayaan yang besar kepada pasukan polis dan kegagalan menyelesaikan kes dengan cepat boleh menghilangkan keyakinan tersebut.
“Mereka (pasukan polis) boleh melakukannya. Saya tahu kerana saya berada dalam polis. Tiada yang mustahil kerana mereka boleh melakukannya,’’ titah baginda.
Baginda telah berkhidmat sebagai penjawat awam sekembalinya dari United Kingdom pada tahun 1968.
Selain bertugas di kontinjen polis Kuala Lumpur, baginda juga berkhidmat di pejabat daerah Kuala Lumpur dan urus setia negeri Selangor.


