ad
AGENDA

Bancian awal: Kemusnahan kawasan pertanian di Kelantan akibat bah cecah RM16 juta

4 Dis 2024, 5:30 AM
Bancian awal: Kemusnahan kawasan pertanian di Kelantan akibat bah cecah RM16 juta

SHAH ALAM, 4 DIS: Bencana banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah menyebabkan kemusnahan kawasan pertanian agak serius.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berdasarkan bancian awal, Kelantan merekodkan kerugian kira-kira RM16 juta.

“Kita sedang buat bancian terperinci di seluruh negara. Bancian belum lengkap (setakat ini). Peringkat awal saya turun ke Pasir Mas (Kelantan) dan KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) telah beri taklimat. Antara kerugian awal lebih kurang RM16 juta di Kelantan.

“Kajian di Kedah kita belum dapat angka yang mutahkhir. Kementerian akan berusaha untuk membantu mereka memulihkan (kawasan pertanian) termasuk penanaman padi, sayuran dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob mengenai kajian dampak terhadap kemusnahan kawasan pertanian seperti padi dan sayuran-sayuran susulan banjir di Pantai Timur.

Menurut Mohamad Sabu, petani turut berusaha mengelak tanaman mereka terkena banjir termasuk mengamalkan penanaman seperti disaran kementerian.

“Misalnya di Rantau Panjang, mereka telah buat cadangan kita, supaya tanaman sayur dibuat tinggi separas dada. Tetapi air banjir naik juga ke paras yang tinggi kali ini dan berlaku kemusnahan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) RM127.4 juta kepada 318,642 pekebun kecil seluruh negara.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi , pekebun kecil terlibat akan menerima keseluruhan RM400 seorang, dibayar dua kali sebanyak RM200 masing-masing pada November dan bulan ini.

Setakat 1.00 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di tujuh negeri mencatatkan 62,952 orang dengan 216 pusat pemindahan sementara dibuka, lapor Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan kekal tertinggi dengan 41,847 mangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.