SHAH ALAM, 3 DIS: Pemilik akaun yang menjadi mangsa penipuan boleh mendapatkan ganti rugi sekiranya terdapat unsur kecuaian, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bank perlu membayar semula ganti rugi itu dibawah peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah.
"Mengikut seksyen itu RM178,407 telah pun dipulangkan, maksudnya memang ada. Tetapi seperti mana yang dikaitkan dengan undang-undang di United Kingdom, itu hanya jika dikenal pasti kecuaian pihak bank atau mereka tidak memantau mengikut peraturannya...maka bank mesti juga bayar dan saya setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini.
"Cuma mungkin dalam kajian yang dibuat yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan, kita juga akan kaji supaya diperketatkan agar pihak bank turut bertanggungjawab kalau didapati tidak benar-benar cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Padang Terap Nurul Amin Hamid di Parlimen yang bertanya kesediaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada bank untuk membayar ganti rugi atau pampasan kepada pemilik akaun yang kehilangan duit akibat penipuan.
Terdahulu, Anwar yang juga menteri kewangan memaklumkan sejumlah RM1.224 bilion kerugian jenayah dalam talian direkodkan bermula Januari hingga Oktober lalu.
Katanya, kerugian itu membabitkan penipuan dalam talian, jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.
Anwar turut memaklumkan tujuh premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A (b) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024 selain 136 kertas siasatan dibuka dengan 25 daripadanya berjaya dituduh.


