BERITA UTAMA

Pakar: Pacuan pembangunan AI rangsang pertumbuhan ekonomi

3 Dis 2024, 4:00 AM
Pakar: Pacuan pembangunan AI rangsang pertumbuhan ekonomi
Pakar: Pacuan pembangunan AI rangsang pertumbuhan ekonomi
Pakar: Pacuan pembangunan AI rangsang pertumbuhan ekonomi

Oleh YASMIN RAMLAN

Selangor memainkan peranan penting dalam membentuk barisan hadapan perkembangan ekonomi Malaysia melalui usaha bersepadu dalam memacu pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Langkah pentadbiran negeri itu sekali gus menonjolkan peranan pentingnya dalam merangsang pertumbuhan negara, kata Prof Datuk Rajah Rasiah dari Institut Asia-Eropah.

[caption id="attachment_676075" align="alignleft" width="455"] Prof Datuk Rajah Rasiah[/caption]

Beliau percaya tumpuan terhadap lima inisiatif mencerminkan aspirasi murni yang berupaya memacu kerancakan ekonomi baik pada peringkat negeri mahupun negara pada masa depan.

Rajah merujuk kepada inisiatif pendidikan, visi alam sekitar dan prasarana mampan, negeri prihatin, tadbir urus cekap dan berintegriti serta memperbaharui budaya, ekonomi dan pembangunan belia.

“Saya melihatnya sebagai penghalusan dasar negeri untuk memenuhi matlamat kebangsaan seperti dalam Belanjawan Madani 2025 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai negeri paling maju di Malaysia, sangat bagus apabila Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat peranan negeri ini sebagai peneraju pembangunan negara,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November, Amirudin berkata Selangor bercita-cita untuk menjadikan wilayah utama yang mendalami sektor kecerdasan buatan.

Dato Menteri Besar itu percaya Selangor memiliki kekuatan untuk muncul seumpama Bay Area dan serta Silicon Valley di San Francisco dan Bangalore di India.

Justeru, Selangor mahu mencorak acuan pemahaman, perkembangan teknologi dan kerangka perniagaan yang memanfaatkan rakyat sekali gus meningkatkan daya saing industri pasaran global.

Hasrat itu boleh dicapai melalui peningkatan teknologi AI yang menambah produktiviti, memperbaiki perkhidmatan awam dan mendorong inovasi dalam sektor utama.

Ini berikutan AI dijangka memberi impak besar kepada sektor pembuatan khususnya memaksimumkan proses pengeluaran, memperbaiki pengurusan rantaian bekalan dan meningkatkan kualiti produk.

Sektor perkhidmatan juga mendapat manfaat berikutan penyelesaian yang dipacu AI memperkemas operasi, mengurangkan ketidakcekapan dan meningkatkan keupayaan membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kotak Sakti Erhan Azrai pula menekankan lima aspek yang perlu diberi pertimbangan iaitu keupayaan mengakses kuasa pengkomputeran dan memori yang mampu milik, ketersediaan data, keupayaan melaksanakan teknologi, bakat untuk memproses atau membangunkan AI dan jenis infrastruktur tersedia.

Cabaran teknologi

Kerjasama dengan syarikat teknologi besar juga penting bagi meningkatkan pembangunan bakat AI dan memacu inovasi memandangkan Selangor dan Lembah Klang banyak universiti, kilang, perusahaan dan institusi kewangan.

[caption id="attachment_676074" align="alignright" width="273"] Erhan Azrai[/caption]

“Apabila ada pelaburan syarikat seperti Amazon Web Services, Google atau Microsoft untuk membina pusat data AI, ia sekali gus membawa manfaat besar dan menguntungkan Selangor,” katanya lagi.

Bagi menangani cabaran tercetus daripada teknologi itu pula, beliau dan Rajah sependapat kertas putih yang dicadangkan Kerajaan Selangor perlu menetapkan sasaran jelas dan mekanisme tinjauan untuk memastikan penggunaan meluas, kebimbangan keselamatan siber.

Pendekatan itu dapat meningkatkan keberkesanan dalam mengintegrasi AI ke dalam pelbagai aspek masyarakat dan ekonomi yang memberi perlindungan kepada pengguna.

“Teknologi yang dibangunkan membawa potensi untuk membahayakan individu jika tidak didekati secara bertanggungjawab. Penting untuk mempertimbang peranan pembangunan dan tanggungjawab mereka dalam proses penciptaan. Selain itu, implikasi masyarakat yang lebih luas mesti dinilai semasa ia dicipta," kata Erhan lagi.

Rajah pula berpendapat kertas putih itu mampu meletakkan Selangor sebagai hab global AI, setara Lembah Silikon atau Bangalore dengan mengintegrasi teknologi itu dalam sektor utama antaranya pendidikan, kewangan, pembuatan dan perkhidmatan.

"Dari hanya memulakan ujian penilaian kesiapsiagaan dan mengecualikan mereka yang tidak bersedia, kertas putih mesti membawa kepada semua bidang ekonomi — firma, ladang, organisasi, agensi kerajaan dan pengguna — kefahaman serta penggunaan AI.

“Harus ditekankan kepada semua bahawa mengikuti gelombang AI penting untuk menikmati sinergi yang dicipta manakala mengabaikannya membantutkan seseorang dalam jurang teknologi maklumat,” kata Rajah lagi.

Malaysia juga boleh belajar daripada Singapura terhadap integrasi AI dengan mengamal proses pemilihan ketat, pemantauan berterusan dan pembetulan pantas untuk menangani cabaran.

Selangor juga harus mencontohi sistem rangkaian kukuh Lembah Silikon dan Bangalore, yang menghubungkan hab pengetahuan utama dan merangsang inovasi.

Menurut Rajah lagi, AI mempercepat keterhubungan tersebut, memacu penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan memupuk pertumbuhan ekonomi terutama dalam kalangan usahawan dan individu.

“AI menjadikan pemacu teknologi revolusi industri 4.0 lebih pantas dan lancar,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin berkata Institut Penyelidikan Selangor akan mengetuai pembangunan kertas putih tersebut yang akan meneliti kesan luas AI terhadap landskap sosioekonomi negeri.

Kertas putih yang akan dibentang dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada tahun depan antara lain bertujuan menilai keseluruhan aspek risiko serta memastikan keselamatan siber dan penyalahgunaan maklumat.

Selain itu, meneliti impak terhadap aspek kesenjangan pendapatan, keupayaan dan pendidikan serta mengaudit teknologi selain meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem.