Penganjuran Dialog Shah Alam yang membincang isu penting dalam negara kembali diadakan dengan menampilkan bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Tertunda akibat pandemik, program cetusan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari itu berlangsung di kampus Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam pada 5 Disember.
Program sebelum ini menyaksikan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed menyampaikan syarahan bertajuk Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam di Shah Alam.
Ketika itu, beliau menekankan kepentingan dasar persyarikatan kerajaan dan kakitangan awam bagi menjalinkan hubungan penjawat awam dan ahli politik untuk bekerja sebagai satu pasukan.
Beliau juga mengingatkan penjawat awam yang berperanan melaksanakan dasar perlu bekerja sepenuh hati tanpa pertikaian mengenai kesetiaan terhadap kerajaan sedia ada.
Ahli politik pada masa sama pula menurut Mustapha harus mendengar maklum balas kakitangan kerajaan sekali gus kedua-dua pihak berpeluang membaiki hubungan sesama mereka.
[caption id="attachment_675966" align="alignleft" width="250"] bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim[/caption]
Kali ini, Muhammad bakal menyampaikan syarahan perdana mengenai situasi ekonomi negara bertajuk Transformasi Ekonomi Malaysia: Perspektif Terhadap Globalisasi dan Perkembangan Geopolitik dalam Perdagangan, Pekerjaan dan Pendidikan.
Menurut ketua pegawai eksekutif Institut Penyelidikan Selangor (SRI), kepakaran dan pengalaman luas dalam isu ekonomi menjadikan Muhammad tokoh paling sesuai mengupas topik berkenaan.
Ammar Gazali percaya perspektif beliau sebagai pakar ekonomi dan gabenor kelapan BNM penting untuk diteliti pelbagai pihak, lebih-lebih lagi banyak isu baharu timbul dalam zaman mencabar pada masa ini.
Perubahan geopolitik
“Isu seperti ketidakseimbangan ekonomi, perubahan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik memerlukan strategi yang bukan sahaja pragmatik tetapi juga inklusif.
“Syarahan ini dijangka memberi pandangan mendalam tentang bagaimana Malaysia boleh menyesuaikan diri dengan perubahan globalisasi dan geopolitik untuk memastikan daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Ammar menjelaskan program berkenaan bertujuan memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui dasar-dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada keadilan sosial dan pembangunan mampan.
Syarahan Muhammad yang juga Pro-Canselor Unisel dan Ahli Dewan Diraja Selangor dijangka menggamit ramai pemimpin, cendekiawan, pembuat dasar dan masyarakat umum.
Pengarah eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) pula percaya wacana tersebut mampu menyediakan panduan strategik kepada pembuat dasar, penjawat awam dan masyarakat umum mendepani cabaran global.
Amidi Abdul Manan berharap program tersebut berupaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman peserta terhadap isu ekonomi yang kompleks serta membuka ruang untuk mencari penyelesaian bersama.
“Dengan penglibatan ahli panel dan speaker berwibawa, Dialog Shah Alam diharapkan terus menjadi acara berprestij yang memberi dampak positif kepada Selangor dan Malaysia," katanya.
[caption id="attachment_675968" align="alignright" width="279"] Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim[/caption]
Sebelum syarahan perdana itu disampaikan, forum pra dialog dijalankan di lokasi sama pada 8 pagi sekali gus memanaskan lagi acara tersebut melalui dua ahli panel jemputan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Profesor Kehormat Unisel Prof Dr Susela Devi bakal menyampaikan syarahan bertajuk Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial.