ad
AGENSI

Pelajar SPM manfaatkan pesta buku negeri cari bahan rujukan

30 Nov 2024, 10:00 AM
Pelajar SPM manfaatkan pesta buku negeri cari bahan rujukan
Pelajar SPM manfaatkan pesta buku negeri cari bahan rujukan
Pelajar SPM manfaatkan pesta buku negeri cari bahan rujukan
Pelajar SPM manfaatkan pesta buku negeri cari bahan rujukan

SHAH ALAM, 30 NOV: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memanfaatkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 untuk mencari buku rujukan bagi berdepan peperiksaan itu tidak lama lagi.

Nur Af’feda Mohd Rasid, 17, berkata pesta yang di Pusat Konvensyen Setia City di sini sentiasa dinantikan berikutan ia menawarkan pelbagai pilihan buku yang sukar didapati di kedai biasa.

[caption id="attachment_675730" align="alignleft" width="311"] Nur Af’feda Mohd Rasid[/caption]

“Banyak pilihan buku di sini, misalnya buku kimia yang sebelum ini sukar diperoleh di kedai tetapi di sini ada. Jadi mudah untuk kami beli buku tersebut untuk buat ulang kaji.

“Setiap kali ada penganjuran, saya dan rakan-rakan akan hadir. Bukan sahaja boleh cari buku, tetapi dapat luang masa bersama,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Kapar, Klang.

Sementara itu, Nur Hijratul Dania Khairul Anuar, 17, berkata selain buku rujukan, pelbagai koleksi soalan SPM boleh diperoleh di pesta berkenaan sekali gus memudahkannya membuat latihan.

[caption id="attachment_675728" align="alignright" width="319"] Nur Hijratul Dania Khairul Anuar[/caption]

“SIBF sangat bagus kerana membantu pelajar cari bahan rujukan yang tiada di kedai. Pada masa sama boleh ajak anak-anak muda membaca daripada bermain gajet,” katanya yang menuntut di sekolah sama.

Muhammad Nukman Zainurrashid, 20, pula sanggup datang dari Seremban bersama kakaknya demi mencari buku kegemaran berjudul ‘Surrounded by Idiots’ tulisan Thomas Erikson.

Pelajar jurusan analitik perniagaan Universiti Malaysia Pahang mengakui sukar mencari buku tersebut di pasaran sebelum ini, namun SIBF menampilkan naskhah berkonsep psikologi itu.

[caption id="attachment_675729" align="alignleft" width="311"] Muhammad Nukman Zainurrashid[/caption]

“Kalau ikutkan buku ini boleh dibaca dalam talian tetapi saya lebih memilih untuk baca buku fizikal kerana lebih khusyuk dan faham. Jadi berbaloi datang jauh dan beli buku ini,” katanya.

SIBF 2024 berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) dari 27 November hingga 3 Disember dengan menyasar lebih 300,000 pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama sejak 2006.

Bermula tahun lalu, pentadbiran turut menganjur Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor bertempat di Kompleks PKNS, melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.

SIBF 2023 merekodkan kehadiran lebih 250,000 orang daripada pelbagai lapisan usia sepanjang 10 hari penganjuran bermula 1 Disember di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.