Sebarang masalah yang berlaku pada era nabi, sahabat tidak kebingungan untuk mendapatkan jawapan. Mereka boleh terus berjumpa dengan nabi untuk mendapatkan jawapan.
Dalam keadaan begitu pun, perbezaan pentafsiran agama berlaku. Imam al-Bukhari meriwayatkan, seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar bercerita bahawa ketika perang al-Ahzab, nabi ada berpesan kepada semua tentera Islam dengan berkata: “Seseorang pun dari kalangan kamu jangan menunaikan solat asar kecuali semuanya sampai ke perkampungan Bani Quraizah”.
Dalam pertengahan perjalanan yang perkampungan tersebut masih jauh lagi, waktu asar masuk. Dalam kalangan sahabat, terdapat dua kalangan yang mempunyai sikap berbeza dalam memahami perkataan nabi tadi. Pertama, kalangan yang memahami perkataan itu secara literal. Maka, mereka menyatakan solat asar wajib ditunaikan di Bani Quraizah, walaupun ditunaikan dalam waktu yang lewat.
Kalangan kedua pula memahami bahawa maksud nabi itu adalah Baginda meminta agar berjalan segera pada waktu asar. Namun, mereka belum sampai lagi, maka tunaikan solat di tempat yang mereka berada. Kejadian tersebut diberitahu kepada nabi tetapi Baginda tidak marah, malah membenarkan kejadian tersebut. (al-Bukhari, hadis no: 4119)
Dari kisah yang dinukilkan al-Imam al-Bukhari itu, difahami pada era nabi pun berlaku pentafsiran terhadap perkataan Baginda. Sudah pasti, pentafsiran agak rencam selepas era hayat hidup nabi. Hal itu sememangnya berlaku apabila melihat perbezaan pentafsiran dalam era sahabat.
Seperti kekhilafan pendapat dalam menjelaskan perbuatan kaum lelaki yang kencing berdiri. Aisyah menyatakan hukumnya haram (al-Nasaie, hadis no: 29) sedangkan Huzaifah menganggap ia harus (al-Bukhari, hadis no: 224); kekhilafan berkenaan status sah puasa bagi orang yang bangun tidur pada waktu pagi dalam keadaan berjunub; Aisyah dan Ummu Salamah menganggap sebagai sah sedangkan Abu Hurairah anggap sebagai tidak sah. (al-Bukhari, hadis no: 1926)
Apabila kekhilafan dalam pentafsiran terhadap perkataan dan perbuatan nabi berlaku, ditambah pula kewujudan hadis-hadis palsu, lahir kesedaran untuk mewujudkan kaedah untuk menapis maklumat dan fakta untuk memastikan kefahaman terhadap fakta tersebut tidak terkeluar dari kehendak Ilahi. Dengan itu, lahirlah apa yang dinamakan sebagai mazhab.
Sandaran fatwa
Dari sudut fiqh, terdapat empat mazhab terkenal, dimulai Imam Abu Hanifah, kemudian Imam Malik, kemudian Imam al-Syafie dan Imam Hanbali. Keempat-empat mazhab itu dianggap sebagai absah kerana fatwa mereka diguna pakai serta mempunyai sandaran yang boleh dipercayai melalui kitab-kitab mereka, serta murid-murid mereka turut menyebarkan pandangan fiqh. Hal ini berbeza kepada mazhab lain seperti al-Lais, al-Nakhaie, al-Awzaie dan sebagainya.
Dalam Mazhab Hanafi yang pemulanya adalah Abu Hanifah, masalah yang dihadapinya adalah beliau berada di Kota Kufah, kota yang rencam dengan ilmu dan peradaban. Pada era beliau, lambakan maklumat yang disandarkan kepada nabi amat banyak dan sukar untuk dikenal pasti sejauh manakah ia benar. Apatah lagi, Kufah tempat berhimpunnya kelompok syiah, Khawarij, Muktazilah, Jahmiyyah dan sebagainya.
Justeru, beliau membina kaedah untuk menapis lambakan maklumat tersebut. Makanya, beliau menetapkan sesuatu fakta yang disandarkan kepada nabi perlu diperhatikan pencerita fakta tersebut.
Apakah dia seorang yang faqih; kalau dia faqih, dia cerita hadis nabi itu secara lafaz atau secara makna; kalau secara lafaz, perlu dilihat sanad yang dia sampaikan itu dari dia dan nabi ada berapa orang, sedikit atau ramai yang dalam istilah ilmu hadis disebut sanad 'Ali atau sanad Nazil; jika secara makna, maka hadis yang diriwayatkan oleh perawi tidak faqih, tidak boleh diterima. Beliau turut membuat piawaian bahawa sesuatu fakta hadis yang disandarkan kepada nabi perlu diukur dari sumber yang qatie, seperti al-Quran dan hadis mutawatir.
Permasalahan pada Malik pula keterbatasan maklumat. Hal ini kerana beliau hanya berada di sekitar Madinah dan Mekah sedangkan para sahabat pada era beliau bukan sekadar di Madinah. Pada era itu, ada sahabat berada di Kufah. Contoh sahabat besar dan banyak dapat ilmu dari nabi yang berada di Kufah adalah Ibn Mas'ud.
Apabila fakta hadis dari nabi atau dari sahabat terbatas bagi Malik, beliau membina manhaj pendalilan cara mazhab seperti kaedah maslahah dalam berdepan isu-isu baharu yang tidak berlaku dalam era nabi dan sahabat. Kaedah itu sebagai kayu ukur untuk dipastikan fatwa-fatwa beliau tidak terkeluar dari batasan syariah. Beliau turut kemuka kaedah ijmak ahli Madinah sebagai kayu ukur dalam memastikan sesuatu fakta yang sampai kepada beliau sebagai absah.
Permasalahan yang ketara ini, kurang berlaku dalam era al-Syafie dan Ahmad. Bukan tidak ada, tetapi tidak serencam Abu Hanifah. Syafie juga berhadapan masalah Jahmiyyah dan Syiah. Ahmad juga sama, tetapi dalam era beliau, polemik Muktazilah yang menguasai kerajaan menyebabkan beliau antara ditekan dan ditindas oleh kelompok Muktazilah.
Memandangkan begitu, pembinaan kaedah dalam mazhab mereka memang rumit, tetapi tidak serumit Abu Hanifah dan Malik. Dalam kata lain, pembinaan kaedah mereka adalah dapatan-dapatan dari hasil analisis balik terhadap manhaj imam-imam mazhab terawal dari mereka.


