Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 28 NOV: Sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat kepada 26.4 peratus pada 2025, berbanding 25.9 peratus tahun lalu.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat berkata unjuran tersebut didorong inisiatif bawah Belanjawan Selangor 2025 bernilai RM3 bilion selain pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama.
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut meramalkan ekonomi Selangor berkembang sebanyak 6.0 peratus pada 2025, berbanding anggaran 5.9 peratus tahun ini disokong pembangunan strategi fiskal.
"Ekonomi Selangor berada pada landasan yang lebih kukuh, didorong penambahan peruntukan belanjawan dan prestasi sektor yang mantap," katanya dalam analisis dikongsi bersama Media Selangor.
[caption id="attachment_671532" align="alignleft" width="437"] Temu bual bersama Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid di Pejabat Media Selangor Sdn Bhd, Shah Alam pada 30 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau juga menekankan pengurusan fiskal Selangor yang kukuh, termasuk melangsaikan liabiliti hutang berjumlah RM21.09 juta dengan kerajaan persekutuan seperti dijanjikan tahun lalu.
"Menerusi kedudukan kewangan kukuh, negeri ini lebih bersedia menyalurkan sumber kepada inisiatif strategik dan pembangunan ekonomi mampan, sekali gus mengukuhkan status sebagai kuasa ekonomi utama di Malaysia," katanya.
Kerajaan Selangor memperuntuk RM3 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.3 bilion bagi pembangunan.
Bagi peruntukan mengurus, beliau menjelaskan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (objek am 2000)
merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.