SHAH ALAM, 28 NOV: Lima keluarga terjejas banjir di Paya Jaras menerima sumbangan wang tunai daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi Yayasan MBI.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan berjumlah RM500 diharap dapat meringankan beban penerima.
"Nilainya mungkin kecil tetapi kami berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima sekali gus membantu meneruskan kelangsungan hidup.
"Selain itu, kita turut menyumbang komputer riba kepada tiga pelajar institusi pengajian tinggi awam dari keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan mangsa bencana banjir dan komputer riba di Dewan MPKK Kampung Paya Jaras Hilir, semalam.
Yayasan MBI menyediakan peruntukan RM1 juta tahun ini khusus untuk membantu mangsa terbabit kejadian bencana selain membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri membantu rakyat memerlukan.