Oleh Shahril Anuar
Sejurus kemalangan ngeri yang meragut nyawa, dia mengalami reinkarnasi. Tetapi bukan dihidupkan semula pada masa kematiannya, sebaliknya masa lalu. Lebih tepat, seminggu sebelum dia diperangkap cinta yang memusnahkan hidupnya. Lalu; sebagai jelmaan supernatural, kesempatan ini digunakan untuk melunaskan cinta dan dendam.
Mikail terlentang di sofa. Tubuhnya lenyai. Mimpi yang sudah seminggu mengganggu lena semakin mengkucar fikiran. Mesej Erika yang bertalu-talu masuk tetap enggan digubris. Apatah lagi menjawab panggilannya. Mikail sudah jelak. Seharusnya perempuan itu ditinggalkan sahaja.
Bagaimana aku boleh jatuh cinta dengan perempuan yang tak dikenali dalam mimpi? Sedangkan terlalu mustahil untuk aku jatuh cinta dalam realiti, desis hatinya.
Benar. Selama ini dia terlalu jijik dengan cinta. Padanya, perempuan hanyalah persinggahan nafsu dan kesumat semata. Cinta adalah sehina-hina perasaan buat makhluk yang paling lemah.
“Takkan ada cinta suci dalam dunia, jangan sesekali Mikail terpedaya.” Terngiang pesan terakhir ibunya. Tampang tenang wanita itu sebelum dihukum gantung mendadak muncul mengingatkan. Mana mungkin dia melupakan ikrarnya saat melihat jenazah ibunya disemadikan. Marak dendamnya pada cinta tak mungkin terpadam.
Namun, keayuan wajah itu terlalu mistik. Menanarkan. Tidak seperti tatapannya pada wanita-wanita yang pernah dikecundangkan, tiada langsung bayangan mesum setiap kali dia mengkhayalkan gadis itu.
Adakah ini memang cinta?
Mengarut. Aku tak ingin jatuh cinta pada sesiapa pun! Maafkan Mikail, ibu. Serta-merta dia dihurung rasa bersalah. Hanya kasih ibunya yang tulus. Kematian wanita itu turut sekian lama menguburkan perasaannya.
Tetapi desakan hatinya juga tak mudah dibantah.
Dalam mimpinya yang berulang, seisi alam turut takjub membisu dengan pesona gadis itu. Kata-kata malah terlalu hodoh untuk memerikan keindahannya. Tiada lain yang diinginkan Mikail selain daripada menyerah ditakluk; fikiran bawah sedarnya merelakan.
Sulitnya, gadis itu tidak terzahir di dunia nyata.
Sekonyong-konyong khayalannya dibubar dering telefon bimbit. Mikail mendengus. Tetap membekukan hatinya. Sungguh, Erika akan ditinggalkan.
Mulai hari ini kau dan aku putus! Tanpa berfikir panjang mesej itu dihantar sebaik dering telefon membungkam. Beberapa minit berselang, Erika membalas:
Aku hamil. Kau takkan terlepas. Jantan keparat!
Mikail tertawa puas seusai membacanya. Keributan fikirannya sedikit mereda. Mesej Erika seterusnya langsung tak diendahkan. Persetan! Hanya manusia tolol akan dimangsakan cinta! pekik hatinya.
Dia seperti melihat ibunya tersenyum.
Terlalu lama ibunya menderita. Didera suami yang tak pernah semenggah tingkahnya. Depan matanya sendiri, tubuh ibunya selalu diganyang sepak-terajang lelaki yang paling dibenci Mikail itu. Betapa ibunya terlalu dilemahkan cinta, walaupun tak pernah diperlakukan selayaknya.
Selama itu juga, Mikail tidak pernah bersekolah dengan sempurna, walaupun tergolong antara murid pintar. Hasil lelah ibunya menjahit, selalu sahaja diperas lelaki itu untuk diboroskan kepada perempuan dan arak. Lelaki itu hanya akan pulang setelah menimbun hutang di meja judi.
Hinggalah satu malam; dalam keadaan mabuk, lelaki itu mendesak ibunya menyerahkan wang. Hutang judinya harus dilangsaikan malam itu juga. Ataupun nyawanya bakal ditamatkan lintah darat. Tetapi jumlahnya terlalu besar. Wang yang ada pula hanya cukup untuk melunaskan yuran sekolah Mikail yang hampir setengah tahun tertangguh bayarannya.
“Aku peduli apa dengan anak jadah tu! Dia bukan anak aku!”
“Tapi, dia anak saya!”
Mikail terkedu. Kenyataan itu benar-benar menyentaknya.
Dengan beringas lelaki itu mula mengeronyok ibunya. Mikail yang mula runtuh kesabarannya, bingkas cuba meleraikan. Tetapi itu hanya membuatkan lelaki itu semakin kerasukan. Rayuannya langsung tak dipedulikan, sebaliknya Mikail ditolak jauh terjelepuk.
Ibunya dicekik. Sambil menghamun, lelaki itu kelihatan bersungguh-sungguh mahu membunuh ibunya yang semakin payah bernafas.
Melihat ibunya semakin lunyai, Mikail meluru mencapai gunting jahitan. Tidak sahaja mahu menyelamatkan ibunya, tetapi juga didorong dendam yang lama terbuku, berkali-kali lelaki itu ditikam, walaupun setelah terkedang kaku.
Longlai; terketar-ketar dalam esakan, ibunya merampas gunting di tangan sebelum memeluk dia seeratnya.
Saat mendengar pengakuan bersalah ibunya di mahkamah, Mikail sedar betapa dalam kasih ibunya padanya.
Justeru, selama dibesarkan di panti asuhan, dia hanya memekakkan telinga setiap kali diejek sebagai anak wanita pembunuh. Hanya dia yang tahu, bahawa ibunya suci tanpa secalit dosa. Cuma, fikirannya selalu diganggu persoalan: Siapa ayahnya yang sebenar? Apakah rahsia yang terselindung di sebalik masa silam ibunya? Selama sisa hayat ibunya menjelang hari hukuman, tidak tergamak Mikail bertanya.
Setiap kali kerinduan, bayangan ibunya pasti akan muncul untuk mengungkapkan: Mikail anak ibu.
Kenyataan itu takkan berubah.
Selamanya dia yakin kata-kata itu.
Mikail menyeka air mata sebelum melihat jam dinding. Tak mahu lagi dihanyutkan emosi. Masanya untuk dia keluar mencari hiburan.
Terlalu sukar untuk dia percaya. Barangkali ini adalah hari bertuahnya. Gadis yang dimimpikan kini sudahpun dijinakkan. Mikail tersenyum sepanjang mengemudi keretanya meninggalkan hiruk kota.
Sesekali matanya mengerling ke sebelah. Memang kejelitaan Melia sedikitpun tak kurang berbanding mimpinya. Cuma, setelah melihatnya secara nyata, Mikail merasakan seperti pernah mengenalinya. Bukan di alam mimpi, tetapi dalam kehidupan realiti. Namun ingatan itu gagal dijejak. Fikirannya terus dikaburkan keterujaan untuk membawa pulang Melia selepas berbual kurang-lebih dua jam yang lalu.
Lewat senja.
Bar Yoko masih lengang. Instrumental Koi diiringi lampu suram semakin menimbulkan rasa pencil. Namun itu sedikitpun tak menenteramkan Mikail yang tertunduk dengan hujung telunjuk mengusap bibir gelas wiski. Langsung tak menoleh ketika bangku sebelah diduduki.
“Kitaro ... memang mengasyikkan.”
Mikail mendecit halus. Merasa terganggu. Memang dia sendiri meminati komposer itu, tetapi dia tak ingin berbual. Dengan malas dia menoleh.
Langsung tertegun.
“Melia.” Perempuan itu tersenyum menghulurkan tangan.
Selepas itu, Melia yang lebih banyak berbicara. Tidak sahaja terpersona, Mikail bahkan keliru. Perkenalannya dengan Melia bagaikan deja vu. Namun setelah diamati, dia pasti, Melia tak pernah dikenali. Selain itu; bertentangan dengan khayalannya seminggu ini, semakin lama menatap Melia, dendamnya mendadak marak, serentak juga berahinya menggelegak.
Fikiran Mikail terus-menerus dipenuhi khayalan jorok ketika keretanya mendaki bukit menuju kediamannya.
“Malam ini, kau akan mati.” Tiba-tiba Melia bersuara.
Lamunan Mikail membuyar, segera menoleh dengan wajah pasi.
“Kau nak bunuh aku?”
“Tak mungkin aku sanggup membunuh kau dengan tangan sendiri.” Melia tersenyum. Riaknya sedikitpun tak menunjukkan ancaman.
“Jadi?”
“Erika!” Melia mengacungkan telunjuknya.
Mata Mikail membelalak melihat ke depan. Erika yang menggenggam janin berdarah, melayang laju menghampiri. Terkocoh-kocoh Mikail melencongkan kereta.
Susuk Erika langsung ghaib sebaik kereta menjunam ke gaung.
Sempurnalah sudah makar yang direncana. Kematian Mikail akan menyatukan mereka berdua di alam sana, setelah dia ditewaskan lelaki itu, dalam kehidupannya yang lalu.
Sebelum mati buat kali kedua, Melia sempat tersenyum saat menggengam tangan Mikail yang terlalu dicintainya.


