SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menyelaraskan bentuk bantuan seperti skim khariat kematian dan baucar beli-belah warga emas untuk memastikan penerima yang layak tidak tercicir.
EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya sedang mengkaji kaedah pendaftaran Skim Khairat Darul Ehsan secara automatik berpandukan rekod data Jabatan Pendafaran Negara (JPN) Selangor.
“Sebelum ini bantuan khairat kematian disalurkan mengikut data penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Iltizam Selangor Iltizam Penyayang (ISP). Waris juga perlu dimohon dalam tempoh enam bulan kematian secara manual dengan menghantar borang.
"Jadi, kita mahu memudah cara penyampaian bantuan ini selain meringankan beban petugas di setiap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang memproses banyak permohonan ISP," kata Anfaal Saari ketika ditemui Wisma Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.
Tambahnya, bantuan khairat kematian RM500 menerusi SMUE bakal dimansuhkan selari pengumuman Dato’ Menteri Besar melaksana Skim Khairiat Darul Ehsan sebanyak RM1,000 pada Belanjawan 2025 lepas.
“Ia juga memenuhi manifesto Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri lalu untuk meningkatkan jumlah bantuan ini,” jelasnya.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM20 juta untuk melaksanakan skim itu mulai 1 Jun tahun depan, yang memanfaatkan 20,000 individu berusia 50 tahun ke atas serta orang kurang upaya (OKU).
Sebelum ini, bantuan khairat kematian warga emas melalui SMUE dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021.