SHAH ALAM, 22 NOV: Selangor berhasrat membangunkan kecerdasan buatan (AI) sendiri sekali gus menjadi peneraju negara dalam inovasi teknologi berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Nvidia, sebuah syarikat teknologi dan semikonduktor terkemuka dunia bagi menghasilkan AI berdaulat (sovereign AI).
“AI berdaulat ini maksudnya AI itu milik negeri atau negara itu sahaja. Jadi kita sedang adakan pertemuan dengan Nvidia kerana kita tidak boleh bergantung dengan AI negara lain.
“Kalau kita bergantung dengan AI negara lain, mereka akan menentukan data, pengenalan, malah sikap kita akan cuba dipesongkan mengikut sudut pandang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Amirudin menambah, Kerajan Negeri menyedia peruntukan RM5 juta bagi merealisasi inisiatif AI dengan permulaan menyedia latihan membangun sumber daya manusia.
Jelasnya, kertas putih AI merupakan perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan Selangor tidak terperangkap dengan serangan persepsi selain mengkaji nilai keseluruhan teknologi berkenaan.
“Sebab itu peruntukan RM5 juta itu, kita akan jadi negeri yang bersedia dalam membentuk AI, termasuk AI itu adalah AI Selangor yang dibuat di Selangor, dilahirkan daripada kecerdikan asli Selangor,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Selangor menyedia peruntukan RM5 juta bagi merealisasi inisiatif AI membabitkan pembangunan Pusat Inkubator AI dan Inisiatif AI Trailblazers.
Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan mengemukakan kertas putih AI merangkumi usaha meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan dalam sidang Dewan Negeri tahun depan.
[caption id="attachment_673225" align="aligncenter" width="1257"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]