SHAH ALAM, 22 NOV: Nisbah tanggungan bagi penduduk berusia di Selangor meningkat kepada 11.4 peratus sepanjang tahun ini, kata EXCO kebajikan masyarakat.
Anfaal Saari berkata peningkatan tersebut menjejaskan produktiviti negeri dalam aspek pengurangan tenaga kerja muda, beban kerja yang meningkat serta penurunan produktiviti pekerja lanjut usia.
“Pada tahun lalu, jumlah warga emas di Malaysia direkodkan berjumlah 3.7 juta orang iaitu mewakili 11.3 peratus daripada jumlah penduduk.
“Manakala di Selangor mencatatkan jumlah warga emas seramai 822,000 orang iaitu 11.4 peratus," katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
[caption id="attachment_673888" align="alignnone" width="797"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab soalan ketika sesi Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua yang Ke-15 di di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkenaan kesan populasi menua terhadap produktiviti negeri dan perancangan menghadapi cabaran tersebut.
Bagi menanganinya, Anfaal menjelaskan Kerajaan Negeri sedang membangunkan Dasar Warga Emas Selangor untuk mengenal pasti dan memahami keperluan kesihatan, sosial dan ekonomi golongan berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dan pelan tindakan 2024-2030 pada persidangan kali ini.
“Dasar ini akan memberi perhatian kepada aspek penjagaan yang berkualiti, mudah diakses dan mampu milik untuk warga emas," katanya.
Sebelum ini, Anfaal dilapor berkata Kerajaan Negeri akan membentangkan draf Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor pada persidangan kali ini, yang merangkumi lima teras dan 37 pelan tindakan.
Menjelang 2030, Malaysia dijangka secara rasmi menjadi negara menua dengan populasi warga emas diunjur meningkat secara drastik iaitu 5.3 juta orang atau lebih 15 peratus daripada populasi negara.


