ad
AGENDA

Qatar hasrat jalin kerjasama rangka program banteras rasuah di negara Islam

21 Nov 2024, 7:48 AM
Qatar hasrat jalin kerjasama rangka program banteras rasuah di negara Islam

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Ketegasan kerajaan memerangi rasuah hingga peringkat akar umbi bukan sahaja berjaya meningkatkan imej negara dari segi indeks persepsi rasuah tetapi turut mendapat pengiktirafan negara luar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hal itu dibuktikan apabila kerajaan Qatar telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bekerjasama merangka program pembanterasan rasuah di negara Islam.

“Kerajaan Qatar minta satu rombongan utama, menteri dan SPRM untuk bekerjasama merangka program pembanterasan rasuah di negara Islam dan hal itu ditugaskan kepada SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung tahap pencapaian kerajaan MADANI setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan dalam melaksanakan janji antaranya usaha memerangi rasuah.

Untuk rekod, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa di Doha minggu depan.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International meningkat pada 2023 apabila negara mencapai 50 mata pada 2023 berbanding 47 mata sebelumnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.