SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri merancang membangunkan pusat kajian data asas bagi gas rumah hijau untuk memantau kadar pelepasan karbon di Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia merupakan inisiatif penting dalam menilai pelepasan gas rumah hijau dan merangka strategi pengurangannya.
“Negeri telah menjalankan perbincangan dengan International Green Training Centre (IGTC) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) untuk bangunkan pusat kajian ini.
“Selain itu, negeri sedang menyediakan rangka kerja yang meliputi pembangunan dasar ekonomi hijau, sistem pengurusan data atau inventori gas rumah hijau yang seragam untuk memenuhi matlamat bandar sifar karbon,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze yang ingin mengetahui hasil Kajian Baseline Gas Rumah Hijau dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) kini menjalani projek perintis kredit karbon di Hutan Simpan Kekal Raja Lumu dan Hutan Simpan Kekal Pulau-Pulau Klang.
“Bagi status projek di Hutan Simpan Kekal Raja Lumu, perjanjian kerjasama telah dimeterai dengan rakan usahama yang mana kajian awalan tapak telah dijalankan pada Ogos 2024 dan selesai pada September 2024.
“Landasan Lumayan Sdn Bhd pula jalani kajian awal di Hutan Simpan Kekal Pulau-Pulau Klang untuk memberi tumpuan kepada penilaian dokumentasi yang melibatkan analis risiko terhadap potensi ‘deforestation’ (penebangan hutan),” jelasnya.


