AGENDA

MB: Lebih 80 peratus anak GISBH kemurungan, hampir 27 peratus bantut

19 Nov 2024, 7:53 AM
MB: Lebih 80 peratus anak GISBH kemurungan, hampir 27 peratus bantut
MB: Lebih 80 peratus anak GISBH kemurungan, hampir 27 peratus bantut

SHAH ALAM, 19 NOV: Pasukan khas penilaian anak-anak GISB Holdings (GISBH) mendapati 84.8 peratus daripada lebih 200 mangsa diselamatkan mengalami kemurungan, dengan 30 peratus pada tahap serius.

Dato’ Menteri Besar berkata penilaian awal mendapati majoriti kanak-kanak itu, iaitu 96.7 peratus mengalami masalah kebimbangan, namun sebahagian besar atau 55 peratus pada tahap ringan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, dapatan awal pemeriksaan pada 4 hingga 8 November turut mendapati 26.8 peratus berdepan masalah bantut, dengan hampir tujuh peratus berdepan bantut teruk.

“Selepas dua bulan di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 38.6 peratus bertambah berat badan, selain 22 peratus kanak-kanak bawah enam tahun memiliki masalah pertuturan.

[caption id="attachment_673942" align="aligncenter" width="812"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas sesi Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua yang Ke-15 di luar Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Saringan ini merangkumi pemeriksaan kesihatan fizikal, penilaian perkembangan fizikal, penilaian kesihatan mental dan pengenalpastian masalah pembelajaran,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Amirudin menambah semua kanak-kanak tersebut diberikan rawatan intervensi mengikut kategori, selain dirujuk kepada kaunselor dan pakar psikiatri untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah memaklumkan kanak-kanak bawah jagaan GISBH mengalami masalah kesihatan dan pertumbuhan fizikal ekoran tidak mendapat nutrisi makanan lengkap.

Berikutan pembongkaran kegiatan kumpulan itu, Selangor menubuhkan pasukan khas dianggotai wakil Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, polis dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Turut terlibat JKM, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor selain agensi swasta dan bukan kerajaan.