PETALING JAYA, 18 NOV: Dua lagi Pasar Raya Ehsan Mart kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijangka dibuka sekitar Ampang dan Hulu Kelang bulan depan.
Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata lokasi pembukaan pasar raya itu dikenal pasti berdasarkan permintaan dan kepadatan penduduk yang memerlukan.
“Seperti dibentangkan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) dalam Belanjawan Selangor 2025, Selangor sasar buka 10 lagi Ehsan Mart tahun depan.
[caption id="attachment_577156" align="alignleft" width="346"]
Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi[/caption]
“Kita sudah kenal pasti kawasan berdasarkan permintaan dan kepadatan penduduk yang (sebelum ini) memerlukan Jualan Ehsan Rahmah (JER),” kata Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi.
Beliau menambah PKPS juga bersedia segenap aspek termasuk logistik dan pengurusan untuk pelaksanaan JER tahun depan menerusi RM30 juta diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2025.
“Untuk persediaan JER kita memang telah bersiap sedia dan masih ada program yang akan kita laksanakan secara kerjasama dengan rakan kerjasama dan penggiat industri.
“Sekarang kita dalam perancangan untuk kenal pasti lokasi (JER) tahun depan. Bila kita buka Ehsan Mart, JER boleh dilaksanakan dalam premis (statik) dan kurangkan pergerakan seperti sebelum ini jelajah gunakan lori,” katanya.
Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan RM30 juta diperuntuk bagi meneruskan JER tahun depan yang membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Menurut Amirudin, tahun ini lori JER bergerak ke lebih 1,560 lokasi seluruh negeri selain diperluas ke Ehsan Mart dan Pasar Raya Ehsan SEGI dengan anggaran enam juta rakyat Selangor mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri menyasar pembukaan 10 premis Pasar Raya Ehsan Mart di seluruh negeri menjelang akhir tahun depan yang menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding pasaran.


