SHAH ALAM, 18 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melaksanakan kaedah sukarela dan perintah mahkamah bagi memulihkan akidah ahli GISB Holdings (GISBH) yang ditahan.
EXCO agama Islam berkata menerusi kaedah sukarela, ahli datang menyerah diri untuk dipulihkan atau menyertai program rehabilitiasi anjuran Mais dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selama 90 bermula 14 Oktober.
Jelas Dr Fahmi Ngah, program berkenaan yang mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal memberi peluang untuk ahli bertaubat dan disantuni sebagai mangsa, bukannya pesalah.
“Mereka ditempatkan di rumah pemulihan Mais yang terpilih. Setakat 7 November, 11 peserta telah terlibat dengan menjalani proses pemulihan berpandukan modul istibatah Mais.
“Modul merangkumi empat bahagian iaitu saringan, rawatan kerohanian, pemulihan dan pengukuhan serta sokongan yang menitikberatkan berkaitan akidah, fardhu ain dan pembentukan sahsiah,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Berhubung kaedah perintah mahkamah, Fahmi berkata ahli kumpulan berkenaan perlu menjalani pemulihan mengikut tempoh ditetapkan di rumah perlindungan Mais selain sesi pendidikan formal dijalankan Kementerian Pendidikan dan Jais kepada kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah jagaan kumpulan itu.
Beliau menjelaskan Mais dan Jais sentiasa mengkaji modul pemulihan berkenaan dan terbuka menerima sebarang pandangan demi menggegarkan program berkaitan.
"Sebab kita telah tegaskan bahawa modul pemulihan ini harus dilihat semula dan tidak boleh gunakan kaedah sama bagi mengelakkan berulangnya pelaku daripada Al-Arqam kepada Rufaqa seterusnya GISBH.
"Sekiranya dapat diperbaiki, modul ini juga akan digunakan di peringkat MKN bagi pemulihan lebih besar di peringkat negara," katanya.