SHAH ALAM, 18 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati 131 ahli GISB Holding (GISBH) yang ditangkap susulan pembongkaran kegiatan menyimpang kumpulan berkenaan tidak memiliki rekod perkahwinan.
EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata menerusi Op Global, 231 individu ditahan mengaku sudah berkahwin namun semakan di Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia mendapati hanya 100 individu memiliki rekod.
[caption id="attachment_673761" align="aligncenter" width="733"] EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap sempena mesyuarat ketiga (bajet) penggal kedua Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor pada 18 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, Jais akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang syariah sedia ada.
“Antara perkara yang boleh disiasat berkenaan Seksyen 12 (c) berkaitan pelanggaran fatwa bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 serta siasatan pernikahan dan perkahwinan anggota GISBH merujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003,” katanya.
Menjawab soalan di sidang Dewan Negeri Selangor, Fahmi berkata sejak 22 September hingga 1 November, penguat kuasa Jais sudah menahan dan mendakwa 138 ahli kumpulan berkenaan mengikut Akta 611 Kanak-kanak serta Akta Cukai Pendapatan 1967.
Berikutan itu sebanyak 44 kertas siasatan dibuka termasuk kesalahan mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melanggar fatwa dikeluarkan pada 1993, 1994 dan 2006 berhubung pengharaman Al-Arqam dan Rufaqa’ yang didapati menyeleweng dari akidah Islam.
“Jais turut menemubual 438 kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun bawah jagaan GISBH iaitu melibatkan 266 orang di Selangor, 155 di Pulau Pinang, 14 di Johor dan tiga di Negeri Sembilan.
“Ini untuk mendapatkan gambaran dan keadaan mereka sepanjang berada di bawah kumpulan GISBH,” katanya.
Susulan Op Global dijalankan polis, Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatan kuasa khas terdiri daripada wakil Jais Majlis Agama Islam Selangor, polis,dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membuat penilaian kepada semua mangsa.
Turut terlibat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor selain agensi swasta dan bukan kerajaan.